SEJARAH

1 Februari 2011

PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah ditubuhkan di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur; oleh Pengasasnya iaitu Cikgu Indera Saifullah Tahir, yang turut dibantu oleh sahabat seperguruan beliau, Cikgu Abdullah Ibrahim.

Pengetahuan Cikgu Indera mengenai perihal jin serta Amalan Pengubatan Islam, Tradisional Melayu dan Penyembuhan Tenaga (Energy Healing) bermula pada tahun 1993, ketika beliau baru berusia 19 tahun. Segala ilmu pengetahuan dan Ijazah Amalan Ilmu; yang sejarahnya bersusur-galur dari Tanah Melayu, Indonesia dan Tanah Arab; telah diterima dari Allahyarham Kekandanya sendiri.

Di samping itu, beliau juga mempelajari Amalan Pengubatan Islam dan Tradisional Melayu secara langsung dan tidak langsung, dari Allahyarhamah Bondanya dan Allahyarhamah Nendanya. Seterusnya, ditambah dengan pengalaman peribadi beliau sejak kecil dan pengkajian yang mendalam sejak berumur 20an.

Cikgu Indera berpengalaman merawat berbagai jenis penyakit dan masalah, yang dilakukannya secara sambilan sejak tahun 1993 lagi.

Seiring dengan penubuhan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™, Cikgu Indera telah memperkenalkan Kaedah Penyembuhan Holistik Islamiah (Islamic Holistic Healing); iaitu satu konsep penyembuhan yang menggabungkan elemen-elemen terpilih dari Amalan Pengubatan Islam, Perubatan Tradisional Melayu, Perubatan Alternatif, Perubatan Suplimentari dan Perubatan Komplimentari.

3 November 2011

Cikgu Indera Saifullah telah dijemput untuk menghadiri "Seminar Islam Semasa & Pengislaman Ilmu (Perubatan Alternatif: Amalan dan Kepercayaan Berdasarkan Prinsip-Prinsip Islam)" yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di De Palma Hotel, Shah Alam, Selangor.

Penceramah di dalam seminar itu adalah Allahyarham Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (Darussyifa’), Allahyarham Tuan Guru Ismail Kamus (Darussalam), Tuan Guru Dr. Zulkifli Al-Bakri dan Ustaz Mohd Shahzihan Ahmad (JAIS). Seminar yang telah dihadiri oleh para Perawat Islam dari seluruh Selangor itu telah memberikan pendedahan dan panduan yang amat berguna di dalam melaksanakan Pengubatan Islam yang berlandaskan Syariat Islam sepenuhnya. Syukur alhamdulillah. Seminar ini merupakan satu titik penting, yang dijadikan sebagai panduan di dalam pembentukan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ selanjutnya.

Disember 2011

PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah berpindah dari premis B2-3-302 ke B3-1-K10, Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara; demi untuk mengembangkan operasinya.

      Januari 2012

      Cikgu Indera telah memulakan Program Latihan Perawat Islam (PLPI) dan menerima kemasukan 3 orang Pelatih (Pengambilan Pertama). Namun, tidak semua mereka mampu untuk menamatkan program tersebut. Hanya Mu'alij Zain Misbah sahaja yang telah berjaya menamatkan pembelajarannya dengan cemerlang.

      3 Julai 2012

      PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah dirasmikan pembukaannya oleh Allahyarham Ustaz Sheikh Zakaria Kassim, Imam Qariah Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Majlis telah dihadiri oleh Ustaz Helly Sardi (Guru Kelas Al-Quran di PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™), Ustaz Mohd Hafiz Khamis Al-Hafiz (Imam Qariah Masjid Bukit Antarabangsa), Tuan Haji Abdul Rahman Tan Idris (Bilal dan Ketua Unit Pengurusan Jenazah, Masjid Al-Mukarramah), Allahyarham Tuan Haji Abdul Rasyid (Pengerusi Surau Al-Ukhwah), Tuan Haji Nasruddin Mohammad (Pengurus Jawatankuasa Mengurus Bersama Pangsapuri Sri Meranti merangkap Pengerusi KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan), jemaah Surau Al-Ukhwah, para sahabat dan jiran tetangga. Syukur alhamdulillah.

       

       

       



       

      6 Julai 2012

      Cikgu Indera Saifullah telah melawat KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan yang terletak di kawasan Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara dan menyampaikan sejumlah 32 naskah kitab Al-Quran yang telah diwakafkan oleh para Pesakit, kepada pihak KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan.

        2013 hingga 2017

        Beberapa siri Pengambilan Pelatih bagi Program Latihan Perawat Islam (PLPI) telah dilakukan, yang jumlahnya mencecah beberapa belas orang. Namun, dengan ketentuan Allah SWT; hanya 3 orang sahaja yang mampu menamatkan program yang sangat mencabar ini; iaitu Ustaz Shakir Aqmal Dato' M Amini, Ustaz Nurthalis Sulaiman dan Mu'alij Abdul Malik Bayai.

         

        16 Januari 2013

        PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah menyampaikan sejumlah 30 naskah kitab-kitab Al-Quran kepada KAFA Intergrasi (SRI) Az Zahraa', Bandar Sri Damansara. Penyampaian telah diwakili oleh Mua'lij Zain Misbah. 

        23 Februari 2013

        Cikgu Indera Saifullah dan Mu'alij Zain Misbah telah berpeluang menghadiri "Kursus Pengurusan Jenazah" anjuran Masjid Al-Amaniah, Kepong dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

          16 Ogos 2014

          Majlis Jamuan Aidilfitri kali pertama PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah berjaya dilaksanakan. Kira-kira 200 orang tetamu terdiri daripada para sahabat-handai, kenalan, bekas Pesakit, sanak saudara serta jiran-tetangga telah sudi hadir.

          16 November 2014

          Pejabat Pengurusan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah dibuka di premis B3-1-K12, Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara. 

          29 Mac 2015

          Para Perawat PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah menghadiri 'Seminar Sihir dan Implikasinya'. Seminar ini telah dianjurkan oleh Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Dua orang Panelis Ahli Akademik dari Universiti Malaya iaitu Dr Khader Ahmad dan Dr Abdullah Yusof. PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah diwakili oleh Mu'alij Zain Misbah, Ustaz Nurthalis Sulaiman dan Mu'alij Abdul Malik.

          3 Julai 2015

          Kerja Amal - Penajaan Majlis Berbuka Puasa oleh PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ untuk para jemaah awam di Surau Al-Ukhwah, Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara.

          11 November 2015

          Kerja Amal - Penajaan barang-barang keperluan dapur dan harian oleh PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ kepada pasangan warga emas di Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara. Barang-barang telah disampaikan oleh Mu'alij Zain Misbah dan Ustaz Shakir Aqmal.

          11 dan 18 Februari 2017

          Barisan Perawat PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ juga telah berpeluang menambah ilmu pengubatan Islam dari Ustaz Abdul Halim Zakaria; yang merupakan Exco Dakwah, Persatuan Ulama' Wilayah Persekutuan dan Pengamal Pengubatan Islam Darussyifa'; melalui Bengkel Pengubatan Islam ('Ilaj Syar'ie) yang telah dianjurkan oleh Masjid Al-Hidayah, Kg Sg Penchala, Kuala Lumpur.

          April 2017

          PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah dipindahkan dari premis B3-1-K10 ke premis B2-1-K13 untuk lebih memantapkan operasinya rawatannya.

          20 Mei 2017

          Kursus Lanjutan Perawat Islam (KLPI) kali yang pertama; di Sungai Sedim, Kulim, Kedah. Kursus telah dihadiri oleh Pak Guru Shahimi Tahir, Cikgu Indera Saifullah, Cikgu Abdullah Ibrahim, YM Raja Reza, Mu'alij Zain Misbah, Mu'alij Malik Bayai dan Saudara Burujerdi. Kursus adalah berorientasikan kepada semangat berpasukan, mengenal alam dan aktiviti riadah. 

           5 Januari 2018

          PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah menerima penghargaan serta kunjungan rasmi para Penyelidik dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) yang berminat tentang Pengubatan Islam yang dijalankan di PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™. Kumpulan tersebut dianggotai oleh Dr. Mohd Fuad (USAS), Ustaz Nor Hafizuddin (JAIPK), Ustazah Rosdah (JAIPK), Ustazah Nor Azmawati (JAIPK) dan Ustaz Muhammad Ariff (JAIPK).

          7 Februari 2018

          Pusat Rawatan Al-Qayyum telah menerima Surat Penghargaan dari Jabatan Agama Islam Perak yang bertarikh di atas.

          5 Julai 2018

          Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat Pergi dan Kembali, khas untuk Mu'alij Zain Misbah yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan rukun Haji bagi tahun 1439H/2018. Beliau telah berangkat ke Madinah pada 18 Julai 2018 dan selamat kembali ke Malaysia pada 1 September 2018. 

          .

          November 2019 hingga Januari 2020

          Pusat Rawatan Al-Qayyum telah dikunjungi oleh para Siswa-Siswi dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berminat di dalam mendapatkan maklumat dan pandangan berkaitan Pengubatan Islam yang berlandaskan Syariat dan Hukum Syarak. 

          Di antara Siswa-Siswi yang telah berkunjung ke Pusat Rawatan Al-Qayyum dalam masa beberapa bulan ini datangnya dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARC) dan Kolej Universiti Islam Malaysia Selangor (KUIS). 

          Januari 2020

          Seiring dengan pembangunan pesat organisasi, jumlah wargakerja PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah ditambah dan sistem operasi keseluruhan telah diperkemaskini. Terkini, selain dari Cikgu Indera Saifullah Tahir, Haji Zain Misbah dan Ustaz Shakir Dato' Amini; PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah menerima kemasukan Ustaz Raja Hishamuddin Mohamed dan Ustaz Muhaimin Rosli sebagai Pembantu Perawat merangkap Kaunselor Rawatan.

          Mac hingga Jun 2020

          Berikutan dengan penyebaran wabak Covid 19 yang berleluasa di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia. Para Perawat dan Kakitangan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™ telah diarahkan untuk bekerja dari rumah. Semua jenis rawatan secara bersemuka dengan Pesakit telah ditangguhkan buat sementara waktu. Walau bagaimanapun di dalam tempoh ini, Rawatan Solat Hajat dan rangkaian produk Penjagaan Diri telah mendapat permintaan yang tinggi dari para Pesakit dan Pelanggan di seluruh Malaysia.

          4 hingga 6 September 2020

          Kursus Lanjutan Perawat Islam (KLPI) 2020 yang bertemakan "Mengenal Diri, Mengenal Alam"; telah berjaya di adakan di The Jerai Hill Resort, Yan, Kedah; di bawah pematuhan Prosedur Operasi Tetap (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagaimana arahan dari pihak Kerajaan. Cikgu Indera Saifullah telah bertindak selaku Fasilitator bagi segala aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang telah dijalankan. Kursus telah dihadiri oleh Cikgu Abdullah Ibrahim, YM Raja Reza, Hj Zain Misbah, Ustaz Shakir Aqmal, Ustaz Raja Hishamuddin dan Ustaz Muhaimin Rosli. Tahniah dan syabas kepada Skuad Perawat kerana telah berjaya melalui dan menamatkan KLPI 2020 dengan sangat cemerlang.

          18 Mac 2021

          Pada hari Khamis, 18 Mac 2021, Pusat Rawatan Al-Qayyum telah menerima penghargaan dan kunjungan daripada pasukan penyelidik khas dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Pasukan itu diketuai oleh Dr Mohd Syukri bin Zainal Abidin dan dibantu oleh Ustaz Mohd Amirul Husni bin Zulkifli. Adapun penyelidikan di peringkat kebangsaan yang dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini adalah berkaitan dengan "Pendekatan 'Ilaj Syar'ie Dalam Menangani Gejala Sosial". Penyelidikan ini juga turut melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
           

          Mac 2021

          Sebanyak 125 botol (500ml) Hand Sanitizer yang bernilai RM3,625.00 telah disumbangkan oleh Pusat Rawatan Al-Qayyum kepada beberapa organisasi seperti Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara; SK Bandar Sri Damansara 3, Bandar Sri Damansara dan Surau Al-Fattah, Bandar Tasik Puteri, Rawang. Sumbangan ini adalah bagi membantu pihak-pihak berkenaan di dalam langkah-langkah pencegahan Virus Covid-19.
          .

          7 Mei 2021

          Pada hari Jumaat 7 Mei 2021, Cikgu Indera Saifullah telah berbesar hati menyampaikan sumbangan berupa beraneka "Kerepek Raya" yang bernilai tidak kurang dari RM2,000.00 kepada Kakitangan Pusat Rawatan Al-Qayyum serta beberapa pihak yang lain seperti para Kakitangan JMB Pangsapuri Sri Meranti, Kakitangan Jinjang Laundry serta para Jemaah Surau Al-Ukhwah, Pangsapuri Sri Meranti. Semoga sumbangan ini dapatlah sedikit sebanyak menggembirakan semua penerima di kala berada di dalam tekanan situasi PKP dan Covid-19 pada masa ini.

          29 Oktober hingga 1 November 2021

          Telah berlangsungnya Kursus Lanjutan Perawat Islam (KLPI) 2021 di Pulau Langkawi, Kedah. Kursus pada kali ini telah diketuai sendiri oleh Cikgu Indera Saifullah dan disertai oleh Cikgu Abdullah Ibrahim, Haji Zain Misbah, Ustaz Shakir Aqmal dan Ustaz Raja Hishamuddin. Skuad Perawat telah berkampung selama 4 hari di Pelangi Beach Resort & Spa, yang terletak di Pantai Cenang, Pulau Langkawi. 

          21 Mei 2022

          Pada hari Sabtu 21 Mei 2022, PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM telah berpindah ke lokasi baru di Ativo Plaza, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur. Sesungguhnya perpindahan ini amatlah penting dan bermakna bagi PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM; yang kini terus membangun dan berkembang hasil kesudian dan sumbangan dari para Pesakit dan Penderma, yang penuh dengan keikhlasan.