Penghargaan Dari Universiti Malaya dan JAKIM
Syukur alhamdulillah. Pada hari Khamis, 18 Mac 2021, Pusat Rawatan Al-Qayyum telah berbesar hati menerima kunjungan daripada pasukan penyelidik khas dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Pasukan itu diketuai oleh Dr Mohd Syukri bin Zainal Abidin dan dibantu oleh Ustaz Mohd Amirul Husni bin Zulkifli.
Pihak Pusat Rawatan Al-Qayyum, yang dipimpin oleh Cikgu Indera Saifullah Tahir, selaku Ketua Pegawai Eksekutif; telah memberikan penerangan dan perkongsian maklumat berkaitan sejarah penubuhan serta kaedah-kaedah Pengubatan Islam yang dijalankan di Pusat Rawatan Al-Qayyum; terutamanya berkaitan rawatan bagi masalah di dalam rumahtangga dan masalah para remaja yang semakin meningkat saban hari.
Adapun penyelidikan di peringkat kebangsaan yang dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini adalah berkaitan dengan "Pendekatan 'Ilaj Syar'ie Dalam Menangani Gejala Sosial". Penyelidikan ini juga turut melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.
Perkongsian maklumat juga telah turut disampaikan oleh Hj Zain Misbah, Perawat Kanan, Pusat Rawatan Al-Qayyum. Turut hadir bersama di dalam sesi itu ialah Ustaz Shakir Aqmal Dato' Amini dan Ustaz Raja Hishamuddin Raja Mohamed.
Di atas segala kerjasama dan perkongsian maklumat yang diberikan, Pusat Rawatan Al-Qayyum telah menerima sebuah Plak Penghargaan. Terima kasih kepada pihak Universiti Malaya dan JAKIM di atas penghargaan ini. Sesungguhnya penghargaan ini telah memberikan kami suntikan semangat untuk terus berjuang menentang kejahatan dan kezaliman manusia, jin, syaiton dan iblis laknatullah; yang sememangnya telah pun bermula sejak azali lagi.


