INDERA HOLDINGS SDN BHD

Ditubuhkan pada tanggal 26 November 2015, INDERA HOLDINGS SDN BHD (IHSB) ialah sebuah syarikat pemegang strategik yang memberi tumpuan kepada pembangunan insan, kesejahteraan rohani dan inovasi kandungan berasaskan ilmu. Berakar daripada kepakaran pengasas dalam Kaedah Penyembuhan Holistik Islamiah sejak 1993, IHSB berkembang sebagai organisasi yang menyatukan kepakaran penyembuhan, pencerahan jiwa dan latihan profesional dalam satu ekosistem yang sistematik dan berstruktur. 

Entiti perniagaan IHSB bermula sebagai Indera Saifullah Resources (2012–2015) sebelum dinaik taraf. Antara tahun 2017 hingga 2025, selain bidang Pengubatan Islam, IHSB turut mengembangkan pengalaman dalam pelbagai sektor seperti e-dagang, produksi video, produksi muzik, pengeluaran makanan dan pembangunan resort kesejahteraan. 

Memasuki ulang tahun ke-10 pada November 2025, IHSB kini bergerak memasuki fasa baharu yang lebih fokus, dengan menumpukan sepenuhnya kepada tiga teras bernilai tinggi yang membentuk asas pertumbuhan jangka panjang syarikat:

1. Penerbitan

IHSB merupakan syarikat penerbitan berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), dengan fokus kepada penghasilan karya premium dalam genre spiritual, psikologi jiwa, penyembuhan, pembangunan diri, motivasi dan kepimpinan.

Visi penerbitan ini ialah mengangkat nilai ilmu dan menyediakan karya bermutu tinggi yang membina kesedaran, kekuatan karakter dan kecerdasan rohani. IHSB dikenali dengan ketelitian editorial, mutu penulisan yang tinggi dan pengalaman membaca yang premium, menjadikan penerbitan sebagai pintu masuk kepada transformasi jiwa pembaca.

2. Latihan

Dengan asas lebih tiga dekad pengalaman pengasas dalam penyembuhan dan pembangunan spiritual, IHSB membangunkan modul latihan profesional yang merangkumi kerohanian dan kecerdasan hati, kecerdasan emosi, pembinaan karakter dan transformasi diri menyeluruh.

Program latihan disusun secara sistematik merangkumi kuliah teori, sesi praktikal, penghayatan nilai, aplikasi kehidupan sebenar, program intensif dan retreat tertutup. Matlamat latihan ialah membantu peserta mencapai kejelasan diri, ketenangan jiwa, kekuatan mental dan kematangan rohani untuk kehidupan dan kerjaya. 

IHSB turut melaksanakan latihan dalaman untuk Perawat Pelatih, penyelia dan kakitangan PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM, memastikan standard layanan, etika dan keberkesanan rawatan sentiasa berada pada tahap tertinggi. 

3. Penyembuhan 

Di bawah IHSB bernaung PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM, sebuah pusat penyembuhan yang telah membina reputasi kukuh sejak 2011. Mengkhusus dalam Rawatan dan Terapi Al-Quran dan berbekalkan lebih 32 tahun pengalaman, pusat ini menyediakan Pengubatan Islam yang profesional, beretika dan berkesan.

Pada tahun 2025, para Perawat PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Perubatan Tradisional & Komplementari, serta turut dipilih oleh World Health Organization (WHO) untuk didokumentasikan sebagai rujukan dalam bidang pengubatan Islam di Malaysia.

Sepanjang operasinya, PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM juga menerima kunjungan rasmi dan pengiktirafan daripada pelbagai institusi termasuk Universiti Malaya (UM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

IHSB percaya bahawa kejayaan sejati bermula daripada kebijaksanaan, iaitu kesatuan ilmu, pengalaman dan bakat yang diterjemahkan menjadi nilai yang mampan. Falsafah ini menjadi asas kepada setiap strategi dan keputusan syarikat, membimbing IHSB dalam mengekalkan daya saing, memperkukuh inovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan lanskap industri. 

Dengan asas penyembuhan yang kukuh sejak 1993 serta perjalanan korporat yang semakin matang, IHSB kini beroperasi sebagai organisasi berfokuskan impak, nilai dan kesejahteraan manusia. 

Melalui tiga teras utamanya iaitu Penerbitan, Latihan dan Penyembuhan; IHSB komited untuk membina legasi yang memberi manfaat berterusan kepada pelanggan, masyarakat dan generasi masa depan. In shaa Allah.

INDERA HOLDINGS SDN BHD
Kejayaan Melalui Kebijaksanaan