Mengapa Pusat Rawatan Al-Qayyum Mengenakan Kadar Sumbangan?

Syukur alhamdulillah. Pusat Rawatan Al-Qayyum telah diwujudkan sejak 11 tahun yang lalu (1 Feb 2011) dan kini terus membangun dan berkembang hasil dari kesudian dan sumbangan dari para Pesakit dan para Penderma yang penuh dengan keikhlasan. Sesungguhnya Allah SWT jualah yang mampu membalas segala jasa baik dan amal jariah Tuan/Puan sekelian dengan segala rohmat dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat hendaknya. Aamiin ya robbal 'alamiin.

Pusat Rawatan Al-Qayyum diwujudkan demi memperjuangkan Amalan Pengubatan Islam yang SISTEMATIK, INTENSIF dan PROFESIONAL. Adapun kami di Pusat Rawatan Al-Qayyum sentiasa berjihad dan berjuang menentang kejahatan dan kezaliman manusia, jin, syaiton dan iblis laknatullah melalui Rawatan dan Terapi Al-Quran, yang dilaksanakan dengan sepenuh jiwa raga dan penat lelah setiap hari.

SEGUNUNG KOS

Kos Pentadbiran, Kos Operasi, Kos Pemasaran dan Kos Perakaunan adalah menjadi cabaran terbesar bagi sesebuah organisasi untuk bergerak dengan cekap, tersusun dan lancar. Dalam organisasi apa jua sekalipun, kos adalah perkara yang utama. Tidak kira samada sebuah Masjid, sekolah Tahfiz, rumah anak-anak yatim, persatuan, kedai, berbagai jenis perniagaan kecil sederhana dan sebagainya lagi; perkara mengenai kos ini perlu dihadapi dan ditanggung oleh pihak pengurusan.

Maka, dari manakah sumber untuk mendapatkan wang bagi membiayai segunung kos-kos ini? Tahukah kita bahawa kos sewa kedai sahaja meningkat naik 10% setiap tahun. Bagaimana pula dengan kos sara hidup para Perawat dan Kakitangan? Kos membesarkan anak-anak mereka? Kos pendidikan dan sebagainya? Kebajikan mereka? Perawat juga adalah manusia seperti kita yang perlu terus hidup dengan selesa dan sejahtera. Adakah cukup dengan pendapatan RM1500 setiap bulan di zaman ini, terutamanya di Kuala Lumpur? Pastinya tidak mungkin.

Kadar Sumbangan yang ditetapkan oleh Pusat Rawatan Al-Qayyum, adalah sebenarnya untuk membiayai segala kos-kos yang terpaksa ditanggung demi meneruskan operasi dan fitrah kehidupan ini. Tidak perlulah kita mempertikaikan kenapa adanya Kadar Sumbangan bagi perkhidmatan Rawatan dan Terapi Al-Quran yang dijalankan oleh Pusat Rawatan Al-Qayyum. Syukur alhamdulillah, masih terdapat kemampuan kami untuk memberikan pengurangan Kadar Sumbangan melalui pakej-pakej rawatan yang disediakan sebagai PILIHAN kepada Pesakit, mengikut KEMAMPUAN KEWANGAN masing-masing. Tiada paksaan di dalam Islam.

Pusat Rawatan Al-Qayyum juga amat prihatin dengan status sosio-ekonomi Pesakit dengan memberikan pengurangan Kadar Sumbangan yang berpatutan sehingga 50% untuk para Pesakit yang kurang berkemampuan atau yang mengalami masalah kewangan. In shaa Allah.

MASIH TERKELIRU

Sedihnya, masih ada pihak dan individu yang masih terkeliru di antara Amalan Pengubatan Islam yang sebenar dan yang "menyamar jadi Perawat Islam" hanya berdasarkan kepada jumlah wang (Kadar Sumbangan) yang perlu dibayar. Ada individu yang sanggup mengadu dumba kepada bomoh dan golongan anti-pengubatan Islam, dan seterusnya menyebarkan fitnah dan kebencian; hanya kerana tidak mencapai kesembuhan walaupun telah membayar sejumlah wang ringgit.

Tahukah kita bahawasanya, sesuatu kesembuhan penyakit atau masalah itu datangnya dari Allah SWT? Jumlah Kadar Sumbangan tidak menentukan sesuatu penyakit atau masalah itu sembuh atau tidak. Rawatan Am dan Rawatan Solat Hajat yang dijalankan oleh Pusat Rawatan Al-Qayyum adalah sebagai ikhtiar semata-mata, yakni ikhtiar yang terbaik berserta penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Pusat Rawatan Al-Qayyum menyediakan perkhidmatan Rawatan dan Terapi Al-Quran bagi membantu Pesakit agar tidak berputus-asa di dalam berikhtiar mencari kesembuhan dan penyelesaian apa jua masalah.

Ketahuilah bahawa Kadar Sumbangan yang dihulurkan oleh Pesakit adalah dianggap sebagai Tabarruk, yakni bermaksud mencari pertumbuhan dan keberkatan dalam kesihatan dan kesejahteraan hidup anda dan untuk membolehkan kami meneruskan operasi dengan cekap. Sesungguhnya bagi setiap perbuatan yang baik itu ada ganjaran dan pahalanya, cepat atau lambat. Baik kepada Pemberi, mahupun kepada Penerima. In shaa Allah.

Adapun Kadar Sumbangan yang diterima ini bukanlah untuk seorang individu atau Perawat itu sahaja; sebagaimana para BOMOH, DUKUN dan PAWANG. Mereka ini kebanyakannya menjalankan operasi rawatan di rumah masing-masing. Malahan ada seorang bomoh ini yang begitu angkuh dengan menyatakan "sanggup memulangkan bayaran Pesakit sekiranya penyakit tidak sembuh."

BOMOH TUNJUK ALIM

Malahan bomoh ini seterusnya mendakwa dengan dalil kononnya "wang yang diterima dari Pesakit adalah haram jika penyakit tidak sembuh." Maka persoalannya; berapa banyak kalikah seorang penjual ubat batuk menerima wang haram? Berapa banyak kali penjual panadol menerima wang haram? Berapa banyak kali penjual madu, habbatus sauda, minyak zaitun, jus delima dan sebagainya; menerima wang haram??? Berapa banyak kali sesebuah hospital dan klinik menerima wang haram?

Semua manusia yang cukup akalnya pada zaman ini tahu bahawa BUKAN SEMUA, BUKAN 100% PENYAKIT yang dirawat oleh ubat, hospital dan klinik itu sembuh. Ada banyak kes penyakit yang tidak berjaya disembuhkan dan malahan ada yang tidak dapat diselamatkan nyawanya. Kos ubat, rawatan dan perkhidmatan masih harus kita bayar. Adakah penjual ubat, penjual madu, penjual habbatus sauda, minyak zaitun, jus delima; doktor, jururawat, kakitangan hospital dan klinik memakan wang haram? Satu kenyataan pemikiran yang amat bodoh, sangat jahil lagi sesat oleh bomoh berkenaan.

Bomoh ini begitu yakin dan angkuh dengan kemampuannya untuk menyembuhkan setiap penyakit yang dirawat olehnya; ATAU sememangnya telah begitu banyak wang yang telah dikembalikannya kepada Pesakit kerana penyakit dan masalah yang dirawatnya tidak sembuh? Jika sembuh sekalipun, sudah tentu ianya melalui cara yang tidak diredhoi Allah SWT. Cara yang syirik lagi mungkar akan halnya.

PERMAINAN BOMOH

Ketahuilah bahawa, seorang bomoh yang bersekongkol dengan syaiton dan jin, memang boleh menyembuhkan penyakit, namun adalah melalui tipu-helah semata-mata. Ini boleh berlaku apabila jin yang berdampingan dengan bomoh itu masuk ke dalam badan Pesakit. Maka, akan rasa sihatlah Pesakit itu buat sementara sahaja. Yang lumpuh boleh berjalan. Yang sakit boleh bangun. Yang buta mungkin boleh melihat. Apa jua perkara yang luar biasa memang boleh berlaku. Mungkin dalam masa 2-3 hari Pesakit berkenaan akan rasa kuat dan sihat. Namun, selepas jin itu keluar dari badan Pesakit berkenaan, maka semakin teruklah penyakit yang dihidapinya. Na'uzubillahi min zalik. Ini bukanlah kesembuhan yang sebenar, tetapi adalah mengundang kemurkaan Allah SWT.

Janganlah kita sanggup bersekongkol dengan syaiton, jin dan sanggup menjadi syirik dan kufur; hanya semata-mata JAMINAN SEMBUH yang diberikan.

JAMINAN KESEMBUHAN

Ingin ditegaskan bahawa DI DALAM ISLAM, TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG BERHAK DAN LAYAK MEMBERIKAN JAMINAN KESEMBUHAN melalui apa jua kaedah rawatan yang dijalankan. Bagi orang-orang yang beriman, hanya Allah SWT yang menurunkan penyakit dan hanya Allah SWT jualah yang menyembuhkan. Samada melalui Perubatan Moden, Perubatan Alternatif, Pengubatan Ruqyah Syar'iyah atau apa jua jenis perubatan; YANG MENYEMBUHKAN HANYA DENGAN KEIZINAN, KEHENDAK DAN KUASA ALLAH SWT JUA. Segala jenis perubatan adalah IKHTIAR dan USAHA semata-mata. Ada ikhtiar yang seringkali mujarab, ada ikhtiar yang mungkin mujarab atau ada ikhtiar yang tidak mujarab; di atas keizinan, kehendak dan kuasa Allah SWT jua. Sesungguhnya IMAN, TAQWA DAN ISTIQHOMAH (berterusan/berulang-ulang) itu adalah menjadi pegangan bagi orang-orang yang beriman di dalam berusaha dan berikhtiar mencari kesembuhan atau penyelesaian masalah.

BAYARAN TINGGI

Sesungguhnya setiap perkhidmatan yang disediakan oleh mana-mana organisasi Islam; atau bukan Islam; amatlah memerlukan bayarannya. Tanpa bayaran wang ringgit, organisasi mana pun tidak akan dapat menjalankan operasinya.

Kadangkala, kita sebagai orang Islam ini sanggup membayar ribuan ringgit setiap tahun untuk mendapatkan siaran televisyen, keseronokan hiburan, pakaian yang cantik, pergi makan angin, berkereta cantik dan sebagainya. Namun sesetengah orang kita ini amat kedekut dan bakhil dengan para Pendakwah dan Perawat Islam. Dalam bab menjaga KESIHATAN DAN NYAWA kita ini, Perawat tidak boleh meletakkan kadar bayaran. Perawat ini dipandang sebagai seorang yang hanya layak menjadi peminta sedekah dan derma semata-mata.

Kononnya bagi kita, seorang Ustaz perlulah sentiasa ikhlas kerana Allah Ta'ala dan hidup dalam keadaan daif dan cukup-cukup makan sahaja. Ustaz hanya boleh memakai motosikal buruk dan tinggal di rumah yang sempit. Jika, kita membayar dengan harga yang tinggi kepada orang kafir, tidak mengapa. Bayar ribu-ribuan ringgit kepada tukang paip, pasaraya, bayar kepada penjual handphone, bayar kepada taukeh perabot dan sebagainya lagi, tidak mengapa.

Tetapi jika membayar ratusan ke ribuan ringgit kepada golongan Pendakwah dan Perawat, adalah menjadi perkara pelik, keanehan dan kejanggalan. Tidak boleh. Ustaz hanya boleh menerima bayaran mengikut seikhlas hati sahaja. Islam dipandang murahan dan bayaran wang hanya dilipat-lipat sebelah tangan. Astaghfirullahal'azim.

(Ibadah Umrah dan Haji pun ada pakejnya. Hotel di Mekah pun ada kadarnya mengikut jaraknya dari Kaabah. Takaful pun ada Kadar Sumbangannya mengikut risiko peserta. Ada berbagai perkara lagi atas dunia ini yang ada kadar dan pakejnya yang setimpal dengan kualiti dan kemampuan pembeli.)

Maka, adakah kita menyangka kehidupan kita akan mendapat rohmat dan keberkatan dari Allah SWT jika kita bersikap sepertimana di atas?

PENUNGGANG AGAMA

Malahan, ada yang sanggup menuduh seorang Islam, Ustaz dan Perawat sebagai Penunggang Agama. Tahukah kita bahawa ini adalah tuduhan yang akan "memakan diri sendiri". Janganlah kita sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu sebagai Penunggang Agama, jika diri sendiri masih hidup dalam kegelapan dan kejahilan. Janganlah kita menghina orang lain sekiranya penyakit dan masalah kita yang dirawat tidak mencapai kesembuhan. Janganlah kita menyalahkan orang lain jika hidup kita ini sentiasa dirundung malang dan musibah. Janganlah sesekali kita menghina dan mencerca seorang Pendakwah dan Perawat itu jika tidak diketahui dengan jelas dan sohih akan perihal yang terjadi.

Lihatlah dan kajilah diri kita sendiri dengan sedalam-dalamnya. Bertafakurlah. Bertaubatlah. Insaflah. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah rohmat dan penyembuh. Namun, penyembuhan dari Al-Quran itu tidak berlaku ke atas semua orang. Kenapa penyakit kita tidak sembuh? Kenapa masalah kita tidak selesai? Walaupun telah dibacakan dengan ayatul Quran, Solat Hajat, Wirid, Zikirullah dan Doa-doa Mustajab? Apakah dosa besar yang mungkin telah kita lakukan sebelum ini? Adakah kita pernah menderhaka kepada ibubapa kita? Atau guru kita? Dosa dengan makhluk Allah yang lain? Adakah kita pernah melakukan maksiat?

Tidakkah kita tahu bahawa setiap kesakitan itu adalah kifarah (pengampunan dosa) dan peningkatan darjat kita di sisi Allah SWT, selagi kita terus mendekatkan diri dengan Allah SWT. Penyakit tidak akan sembuh dan masalah tidak akan selesai; dengan menghina dan mencaci orang lain.

PERAWAT MUNGKAR

Memang ada golongan yang merosakkan nama baik dan kesucian Islam melalui perbuatan mereka yang mungkar lagi keji. Di dalam semua bidang di atas muka bumi ini pastinya ada orang yang jahat. Di dalam semua pekerjaan dan profesion ada orang yang jahat dan keji akibat hasutan syaiton; menjadikan seseorang itu tamak haloba, gila kuasa, kerakusan nafsu dan segala macam perangai buruk lagi.

Tidak dinafikan, memang ada golongan "Perawat Mungkar" yang mengambil kesempatan ke atas Pesakit dengan mengenakan bayaran ribuan ringgit atau malahan melakukan berbagai perkara yang lebih keji seperti penipuan, silap mata, peras ugut, sihir, pukau, zina, memperkosa, membunuh dan sebagainya lagi.

"Perawat Mungkar" ini memang akan sentiasa ada dalam masyarakat. Golongan munafik dan mungkar ini memang sentiasa ada dalam ummat Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi, malahan sifat kejahatan sudah ada sejak sebelum Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi ini lagi. Ini adalah fitrah kehidupan di atas dunia, sifat kejahatan yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman.

Apa yang pasti, orang yang sewenang-wenangnya melabel para Pendakwah dan Perawat sebagai Penunggang Agama ini pun bukanlah seorang yang beriman; kerana, orang Islam yang beriman tidak akan melabel manusia lain dengan kata nista kerana ketaatan dan ketakutannya dengan Allah SWT, takut sekiranya menyebarkan fitnah yang sangat dimurkai oleh Allah Azza Wajalla.

Mungkin mereka yang sering mencemuh dan menghina para Pendakwah dan Perawat ini juga patut dilabelkan sebagai golongan "Pemijak Al-Quran", yang wajib dipisahkan kepala dari badannya. Allahuakhbar.

KESIMPULAN

Marilah kita berfikir sejenak, bahawasanya pembangunan dan penyebaran Syiar Islam perlulah dibantu dengan wang ringgit. Tanpa jumlah wang ringgit yang mencukupi, adakah mampu untuk kita memperjuangkan Kesucian, Kedaulatan dan Keagungan Islam? Tanpa wang ringgit yang mencukupi, adakah mampu untuk kita membangunkan ekonomi ummat Islam? Tanpa wang ringgit yang mencukupi, adakah mampu untuk kita bersedekah kepada individu dan organisasi Islam yang amat memerlukannya?

Jawapannya terpulanglah kepada akal dan kefahaman kita sendiri. Bagi kami di Pusat Rawatan Al-Qayyum, kami sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan anda. Kadar Sumbangan dari para Pesakit amatlah diperlukan dan dihargai. In shaa Allah.

Sesungguhnya wang bukanlah matlamat kami, wang hanyalah sebagai salah satu alat semata-mata di dalam meneruskan kehidupan dan mencari keredhoan Allah SWT. Tanpa sejumlah wang yang mencukupi, matlamat hanya akan menjadi angan-angan.

Wallahua'lam. Hanya kepada Allah SWT jualah tempat kami memohon dan menyerahkan segalanya. Tidak ada daya upaya kami ini, melainkan hanya dari Allah SWT jua. Syukron jazilan.

 

Ikhlas dari kami:
CAHAYA KESEJAHTERAAN HIDUP
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™

4 komen

  • Alhamdulillah. Terima kasih kepada Saudari Farah (5 Dis 2023) di atas sokongan yang telah diberikan. Jazakillahi khoiron kathiro.

    Pusat Rawatan Al-Qayyum
  • Saya setuju dengan artikel di atas. Imej Dan martabat rawatan Islam oleh perawat2 yang alim perlu diangkat tanpa diskriminasi terhadap bayaran.. tanpa ada double standard.. smga pusat rawatan al qayyum terus maju Dan memberi manfaat kpd masyarakat

    Farah
  • Waalaikumussalam wht. Tuan/Puan yang dikasihi Allah SWT, mohon hubungi/WhatsApp Perawat kami di talian 017-765 1747 (Hj Zain Misbah) atau 011-692 55 942 (Ustaz Shakir) sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan rawatan atau penyakit. Segala penyakit itu ada ubatnya melalui Rawatan dan Terapi Al-Quran, selagi kita terus berikhtiar dan berusaha. In shaa Allah. Syukron jazilan.

    PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM
  • Assalamualaikum tuan.
    Ada tak rawatan jarak jauh bagi sakit kencing tak lawas.
    Saya sakit sejak tahun 2004…
    👉 dah banyak juga berusaha namun pulih sepenuhnya belum lagi.
    Cuma kurang lepas tu sakit kembali.

    Terutama ketika bersih batok masa solat…ia menganggu saya nk solat.

    Terima kasih.

    Muhd

Apakah pendapat anda tentang isu di atas?

Nama .
.
Pendapat / Cadangan .

Sila klik "Pertanyaan Rawatan" sekiranya anda ingin membuat pertanyaan berkaitan penyakit atau masalah.