Kaedah Memulih Rumah (Bahagian 2)
5) Memastikan Kebersihan
.
Sentiasa memastikan kediaman kemas dan bersih dari kekotoran dan najis terutamanya di bilik mandi, tandas, dapur dan tong sampah (di bahagian dapur dalam rumah). Tempat-tempat inilah yang menjadi sarang kegemaran tempat tinggal Jin dan Syaiton. Juga memastikan kediaman bersih dari habuk (pembawa Tenaga Jahat) yang sudah pasti memberikan kesan buruk kepada kesihatan mental, rohani, hati dan jiwa mahupun fizikal penghuni rumah berkenaan. Tenaga Jahat berkenaan berkemungkinan adalah elemen Jin dan Syaiton atau Kuman pembawa penyakit atau gelombang tenaga emosi kesedihan, penderitaan, kemarahan, kekecewaan, ketakutan, kesakitan dan sebagainya lagi yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia.
.
6) Sistem Pencahayaan Yang Baik
.
Memastikan Sistem Pencahayaan yang baik, samada siang atau malam. Adapun perkara ini adalah subjektif dan bergantung kepada aspek-aspek emosi, minat dan kebiasaan penghuni kediaman berkenaan. Cahaya yang suram dan malap dapat menggalakkan 'pertindihan' antara dimensi Alam Bumi Nyata dan Alam Jin dan Syaiton (hal ini tidaklah berlaku sepanjang masa); yang boleh memudahkan penghuninya kerap melihat bayangan hitam atau ilusi yang menyeramkan; yang sememangnya dibantu/disokong oleh sifat jahat Jin dan Syaiton itu sendiri.
.
Pastikan cahaya matahari (dengan tahap haba yang bersesuaian) dapat masuk ke dalam rumah kita pada waktu siang hari; walaupun bukan semua bahagian dalam rumah dapat dimasuki cahaya matahari secukupnya.
.
Adakah kita perlu membuka lampu yang terang benderang sewaktu tidur? Tidak perlu. Cukuplah dengan sedikit cahaya 'mentol tidur', selagi tidak terlampau gelap pekat, sehingga tangan sendiri pun tidak dapat dilihat.
.
Sebelum tidur dalam keadaan samar, maka itu kita digalakkan untuk mengambil wudhuk dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran seperti Ayat Kursy, Surah Al-Ikhlas, doa sebelum tidur dan sebagainya. Bilangan berapa kali ayat dan doa hendak dibaca, adalah terpulang kepada kemampuan individu itu sendiri. Apa yang penting adalah keyakinan HANYA kepada Allah SWT sebagai tempat bergantung dan menyerahkan diri sepenuhnya, bulat-bulat.
.
7) Sistem Pengudaraan Yang Baik
.
Memastikan Sistem Pengudaraan adalah baik - udara kering yang mampu untuk mengalir dengan sempurna di dalam rumah. Udara yang mampat dan lembab boleh menggalakkan kewujudan Tenaga Jahat.
.
8) Menghalang Kejahatan Waktu Senja
.
Memastikan pintu dan tingkap ditutup rapat sebelum masuknya waktu Maghrib. Pada waktu laungan Azan itu, Jin dan Syaiton akan bertebaran lari dan berkemungkinan memasuki rumah kita.
.
9) Menghalang Kejahatan Tengah Malam
.
Sekiranya ada Penghuni rumah yang terpaksa keluar-masuk rumah selepas jam 12:00 malam maka amalkanlah mengambil wudhuk (ikhtiar terbaik) atau sekurang-kurangnya membasuh kaki, tangan dan muka (sambil berselawat ke atas Nabi SAW) setelah memasuki rumah (condo, apartment dan flat); atau sebelum masuk pintu rumah sekiranya ada kemudahan paip air di bahagian luar rumah (untuk jenis rumah atas tanah).
.
10) 'Memulih' Rumah
.
Setelah semua kaedah-kaedah di atas telah dilakukan, maka untuk 'memulihkan' rumah secara spesifik, bolehlah dilakukan kaedah-kaedah berikut:
.
- Melakukan Solat Hajat, Zikirullah dan berdoa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh agar dibersihkan dan dilindungi rumah berkenaan dari segala gangguan dan kejahatan Manusia, Jin, Syaiton dan Iblis laknatullah.
- Melaungkan Azan dengan mengadap ke arah Kiblat dan kemudian bacalah Ayat Kursy.
- Menyediakan Air Terapi Ruqyah Syar’iyah yang telah dibacakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan Doa dan merenjisnya ke sekeling rumah, dimulai dengan bahagian dalam rumah (bermula dari tingkat paling bawah ke tingkat atas) dan kemudian luar rumah. Pergerakan merenjis mengikut arah pusingan Tawaf (lawan arah jam).
- Menyediakan garam kasar - dibacakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan Doa; dan menabur (merimbas) di sekeliling bahagian dalam dan luar rumah. Tempat-tempat yang disyaki ada Jin yang bertenggek atau bergayut, bolehlah dilebihkan rimbasan garamnya. Antara ayat-ayat yang kebiasaanya dibacakan adalah seperti Al-Fatihah, Al-Baqoroh: 1-5, Ayat Kursy, Al-Baqoroh: 284 - 286, Ali Imran: 18-19 dan 26-27, Doa Nabi Sulaiman, rangkaian ayat-ayat Ruqyah Syar’iyah lain serta rangkaian surah-surah dalam Juz Amma. Apa yang penting, ketika membaca, mestilah dengan tartil serta penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT, Tuhan Penguasa Seluruh Alam.
“Nabi Musa menjawab: TUHAN kami ialah yang TELAH MEMBERIKAN kepada tiap-tiap sesuatu: KEJADIAN SEMULAJADINYA yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan CARA MENGGUNAKANNYA.” (Toha: 50)
.
Kesimpulan
.
Perlu diingatkan bahawa segala kaedah untuk ‘memulih’ rumah kita dari gangguan Jin dan Syaiton sebagaimana yang dinyatakan di atas; perlulah dilakukan dengan Iman, Taqwa dan Istiqomah (berterusan) – kerana dan kepada Allah SWT jua. Segala kemujaraban adalah dengan izin, kehendak dan kuasa Allah SWT jua. Wallahua’lam.
.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah DITETAPKAN oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah ORANG-ORANG YANG BERIMAN harus BERTAWAKAL.” (At-Tauba: 51)
.
“Jika Allah MENIMPAKAN sesuatu KEMUDHARATAN kepadamu, maka TIDAK ADA yang dapat MENGHILANGKANNYA KECUALI DIA. Dan jika Allah MENGKEHENDAKI KEBAIKAN bagi kamu, maka TIDAK ADA DAPAT MENOLAK KURNIANYA. Dia MEMBERIKAN KEBAIKAN itu kepada SIAPA yang DIKEHENDAKINYA di antara hamba – hambaNya dan Dia lah yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” (Yunus: 107)
.
.
Artikel tulisan:
Indera Saifullah Tahir
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™
Indera Saifullah Tahir
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™
.