Bagaimana Mengenal Perawat Islam Yang Sebenar? (III)

7) Asap dan Warna Kuning dikaitkan dengan jin

Ini adalah tanggapan yang juga cetek akan pemikirannya. Bukan semua asap itu ada kaitan dengan jin. Bukan semua yang berwarna kuning itu ada kaitan dengan jin.

Memang benar, jin sukakan kepada asap sebagai zat makanannya. Namun bukan semua asap itu ada kaitan dengan jin. 

Jika setiap asap itu disukai jin, maka banyaklah manusia yang dirasuk jin di PUSPAKOM yang menjalankan ujian asap kenderaan awam. Mungkin, ramai juga yang tersampok dengan jin ketika berada di Stesen Bas yang sudah tentu banyak dengan bas dan teksi yang mengeluarkan asap. Begitu juga dikilang-kilang yang mengeluarkan asap dari proses pembuatan, pemprosesan dan sebagainya; maka sudah pastinya saban hari ramai pekerja yang mengalami gangguan jin dan jatuh sakit dengan teruk sekali; sekiranya asap didakwa kononnya akan mendatangkan jin. Bagaimana dengan semburan asap bagi membasmi nyamuk Aedes?  Maka, banyaklah jin yang datang bersama asap ke kawasan rumah penduduk.

Inilah antara pemikiran yang sangat cetek lagi jahil; yang berkisar di kalangan ummat Islam di Malaysia. 

Begitu dengan warna kuning, yang didakwa kononnya adalah warna kesukaan jin. Cahaya matahari juga berwarna kuning, yang memancar ke seluruh alam. Terdapat banyak bas ekspres dan teksi berwarna kuning. Adakah kesemuanya disukai dan dimonopoli oleh jin? Warna apakah gambaran pakaian makhluk halus (jin) yang digambarkan atau pernah dilihat oleh manusia? Adakah semuanya berwarna kuning? Balairong Istana Negara juga berwarna kuning, yang sering digunakan dalam upacara adat istiadat penganugerahan pingat, persidangan, pertabalan dan kemangkatan. Begitu juga di istana-istana bagi para Sultan di Tanah Melayu, yang majoritinya dihiasi indah dengan kain berwarna kuning. Adakah kesemuanya dihuni dan berkisar dengan jin?

Sebenarnya, yang berkaitan dengan asap dan yang berwarna kuning itu belum tentu ada kaitannyadengan jin. Tidak ada fakta bahawa jin menyukai warna kuning semata-mata. Dalam kebanyakan gambaran mengenai hantu atau makhluk halus yang terlihat, samada ianya berpakaian putih, hitam dan juga hijau. Maka, mengapa warna kuning dikaitkan dengan jin? 

Yang jahatnya adalah tukang sihir, para bomoh, dukun, pawang dan segala pengamal ilmu hitam. Kekufuran dan kesesatan adalah pada iktiqad,  niat dan perbuatan mereka. Asap kemenyan sangat popular digunakan sebagai salah satu elemen terpenting dalam pengamalan ilmu hitam mereka; kerana harganya yang murah, senang diperolehi, berbau wangi dan mudah mengeluarkan asap. Kemenyan itu tidak haram dan tidak bersalah.

Begitu juga, kain berwarna kuning adalah lebih nampak 'glamour' dari kain warna lain, yang sering dijadikan sebahagian dari pemakaian dan peralatan yang digunakan mereka.

NASIHAT: Janganlah sesekali kita terus mempercayai fitnah dan menyokong ketandusan ilmu serta menjatuhkan hukuman ke atas asap dan warna kuning yang didakwa kononnya berkaitan dengan jin. Asap yang terlampau banyak memang tidak baik untuk kesihatan. Namun, asap dan warna kuning tidak bersalah apa-apa. Jangan begitu sibuk mencemuh: asap sahaja, ada jin; kuning sahaja, ada jin. 

Jin datang bukan kerana warna, bukan kerana asap. Yang disukai oleh kebanyakan jin kafir, adalah kerosakan aqidah dan kemusnahan iman seseorang itu. Perbuatan jahat, kemungkaran, kezaliman dan menyekutukan Allah SWT adalah penyebab kepada kehadiran dan pendampingan jin; dan sesekali bukan kerana asap dan warna kuning. Wallahua'lam. 

 

8) Rawatan Jarak Jauh yang mengikut Syariat

Sekiranya kita yakin kepada kekuasaan Allah SWT yang tidak ada batasannya, tidak ada had sempadannya; maka tidak ada masalah bagi kita mempercayai Rawatan Jarak Jauh; dengan syarat ianya dilakukan melalui Solat Hajat dan Doa. Sekiranya ada bacaan Ruqyah Syar'iyah dan Zikirullah, maka adalah lebih baik lagi.

Tidak ada yang pelik dan anehnya di dalam melaksanakan Solat Hajat bagi memohon sesuatu kebaikan dari Allah SWT. Sesiapa sahaja orang Islam sangat digalakkan untuk mengerjakan Solat Hajat bagi memohon keredhoan dan pertolongan segera dari Allah SWT. Solat Hajat adalah sebagai salah satu ikhtiar kita di dalam mencari kesembuhan atau penyelesaian masalah. Perlu diingati bahawa Allah SWT jua Maha Penyembuh dan tidak ada hak bagi sesiapa jua dalam menentukan kesembuhan; dalam apa jua jenis perubatan. 

Yang sering menjadi tanda tanya ialah, bolehkah kita menyuruh orang lain melakukannya bagi pihak kita?

Ada perbuatan ibadah yang lain seperti mengerjakan ibadah haji (badal haji), aqiqah, korban, tahlil, bacaan doa dan kenduri; yang boleh diserahkan kepada orang Islam lain melaksanakannya bagi mewakili diri seseorang individu lain. Perkara ini tidak menjadi kesalahan di dalam Islam.

Maka, adalah tiada menjadi kesalahan dan hukumnya harus jika kita menyuruh orang lain yang lebih mahir dan khusus di dalam bidang Perubatan Al-Quran, bagi melaksanakan Solat Hajat dan bacaan Doa bagi pihak kita (atau orang lain). Walau bagaimanapun, sebagai Pesakit atau waris Pesakit, adalah sangat diseru untuk kita melakukannya sendiri kerana itu adalah yang terbaik di sisi Allah SWT. 

Ada kos dan pertimbangan upah yang perlu kita tanggung di dalam menyuruh apa jua tugas dan tanggungjawab kepada orang lain. Mungkin ada insan yang sanggup melakukan suruhan kita tanpa sebarang upah, tetapi kemungkinan sebegini amatlah tipis. Ini adalah fitrah dan kebiasaan di dalam kehidupan manusia yang semakin mencabar dan kompleks pada hari ini. Ketahuilah bahawa naskhah Al-Quran juga ada nilai harga yang berbeza-beza mengikut kualiti saiz, kertas, dakwat, percetakan, rekabentuk, pembungkusan dan sebagainya. Kos pembinaan masjid juga berbeza mengikut harga tanah, bahan pembinaan, saiz, rekabentuk, kepakaran, tenaga kerja dan sebagainya lagi. Maka adalah harus dalam membayar sesuatu harga dengan nilai wang ringgit walaupun ianya berkaitan amal ibadat.

Solat dan membaca Al-Quran serta berdoa itu tidak ada kosnya; tetapi Perawat yang melaksanakannya perlu terus hidup dan menyara keluarga dan kehidupan; termasuklah untuk menanggung segala kos di dalam pengurusan dan operasinya. Maka, janganlah kita memandang rendah kepada keperluan terhadap sumbangan kita kepada kesinambungan dan pembangunan aktiviti-aktiviti berkaitan ibadah. Wallahua'lam.

Apa yang sangat penting, janganlah kita sesekali terlibat dengan aktiviti Rawatan Jarak Jauh yang dilakukan oleh para bomoh, dukun dan pawang; yang berdampingan dengan jin. Bukan setakat perlu membayar dengan sejumlah upah, malah sebagai Penempah; kita juga terlibat sama dengan perbuatan menyekutukan Allah SWT (syirik) dan kemungkaran. Na'uzubillahi min zaalik. 

“Sesungguhnya ALLAH TIDAK AKAN MENGAMPUNKAN DOSA ORANG YANG MEMPERSEKUTUKANNYA DENGAN SESUATU dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya; dan SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU, maka sesungguhnya dia telah SESAT DENGAN KESESATAN YANG AMAT JAUH.”  (An-Nisa: 116)

 

9) Tanggapan Perubatan Islam itu bertaraf murahan adalah salah.

Islam bukan sekadar agama dan kepercayaan. Islam adalah cara kehidupan yang lengkap meliputi minda, tubuh badan, roh, hati dan jiwa. Islam adalah fitrah kehidupan setiap insan. 

Islam itu penuh dengan kesucian, keagungan dan kedaulatan. Islam adalah kualiti dan keunggulan di dunia dan akhirat. Islam itu sama sekali bukan kemiskinan dan kehinaan. Islam bukan lambat, bukan perlahan, bukan bersikap sekadar cukup syarat. 

Kehidupan yang penuh dengan peperangan, kemelaratan, kemiskinan dan kesusahan adalah ujian bagi ummat Islam. Dunia ini dicipta untuk orang-orang kafir menikmati kesenangan dan kenikmatan, bergantung kepada hasil usaha mereka. Balasan baik untuk orang-orang kafir semuanya sangat mudah untuk mereka perolehi, berbanding dengan orang-orang Islam.

Bagi orang-orang Islam, dunia dicipta sebagai tempat untuk mengambil ujian bagi mencapai matlamat kehidupan yang sebenar di akhirat kelak. Namun, setiap orang Islam adalah wajib untuk memakmurkan bumi Allah. Mencari kesenangan dan kekayaan adalah satu kewajipan. Berusaha mencari rezeki yang halal, di samping berusaha mencari keredhoan Allah SWT; adalah satu keperluan yang tidak boleh dipinggirkan.

Dari Anas bin Malik RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: ”Sesungguhnya APABILA ORANG-ORANG KAFIR MENGERJAKAN KEBAJIKAN DI DUNIA DIA DIBERI UPAH DENGAN AMALNYA ITU BERUPA REZEKI DI DUNIA. Sedangkan ORANG-ORANG MUKMIN, PAHALA KEBAJIKANNYA DISIMPAN ALLAH TAALA UNTUKNYA DI AKHIRAT KELAK SERTA DIBERINYA REZEKI DI DUNIA BERHUBUNG DENGAN TAATNYA.” (HR Muslim)

Tanggapan bahawa para ahli ibadah, Ulama', Imam, Bilal, Ustaz dan Perawat; tidak layak untuk hidup senang; adalah satu kehinaan yang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat Islam. Perkara ini adalah sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang sangat mementingkan kemakmuran dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Perkara-perkara yang berkaitan sumbangan kepada Masjid dan Surau, kepada pembangunan ekonomi ummat Islam, kepada hal-hal berkaitan kesejahteraan hidup para ahli ibadah, Ulama', Imam, Bilal, Ustaz dan Perawat; kita ambil sikap sambil lewa. Bukan menjadi urusan kita. Kita menganggap hal-hal yang berkaitan Islam adalah sepatutnya percuma atau kadar harga yang paling murah dan rendah. Kita meletakkan Islam pada kualiti yang sangat rendah.

Walhal, kita sanggup membayar beribu-ribu ringgit setahun untuk mendapatkan hiburan di televisyen, melanggan internet, membeli telefon bimbit, berkereta terbaik, melancong, mendapatkan pendidikan sekular, barangan kesihatan, berfesyen, bertudung, berjubah, berhari raya, menjamu selera dan sebagainya lagi. Kita sanggup membayar harga yang mahal kepada orang-orang kafir, tetapi murah kepada orang-orang Islam. Kita sanggup membayar harga yang mahal demi keseronokan dan hawa nafsu, tetapi murah kepada orang-orang yang berdakwah dan berjihad di jalan Allah. 

Maka, jangan hairanlah sekiranya hidup kita tidak mendapat ketenangan, rezeki yang diperolehi sentiasa tidak cukup, hutang tidak pernah selesai, penyakit gangguan jin tidak sembuh-sembuh atau berbagai jenis lagi kesusahan yang bersilih ganti.

Janganlah kita menganggap tugas merawat Pesakit dengan bacaan Al-Quran dan doa-doa mustajab itu; satu tugas yang bertaraf rendah dan murahan. Janganlah kita menghina para Perawat yang memperjuangkan Perubatan Islam itu dengan mengharap kepada perubatan secara percuma semata-mata. Janganlah kita merendahkan martabat para ahli ibadah, Ulama', Imam, Bilal, Ustaz dan Perawat dengan membayar dengan kadar yang boleh dilipat-lipat dalam sebelah tangan sahaja. Janganlah menjadi orang Islam yang mengaku Islam tetapi bersifat kedekut lagi bakhil kepada pembangunan Islam.

“Adapun orang yang MEMBERIKAN (hartanya di jalan Allah) dan BERTAQWA, serta MEMBENARKAN ADANYA PAHALA YANG TERBAIK (SYURGA), maka kami kelak akan MENYIAPKAN BAGINYA JALAN YANG MUDAH. Dan adanya orang-orang yang BAKHIL dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang SUKAR” (Al-Lail: 5-10) 

Sekiranya Pesakit tidak berkemampuan dari segi kewangan, adalah satu perkara yang berbeza. Memberikan rawatan dengan diskaun atau secara percuma adalah sangat dituntut dalam Islam. Namun, Pesakit juga perlu bersifat amanah dan tidak mengambil kesempatan di atas kebaikan dan toleransi Perawat berkenaan. Wallahua'lam.

Sekiranya rawatan, perkhidmatan dan pra-sarana yang diberikan adalah berkualiti dan memuaskan, maka tidak salahnya sebagai orang Islam yang beriman; kita menyumbangkan bayaran yang setimpal dengan kualiti yang diberikan itu dengan niat untuk bantu-membantu. Doa adalah senjata mukmin, tetapi sedekah itu adalah lebih tajam dari doa. In shaa Allah. 

(Bersambung)

Apakah pendapat anda tentang isu di atas?

Nama .
.
Pendapat / Cadangan .

Sila klik "Pertanyaan Rawatan" sekiranya anda ingin membuat pertanyaan berkaitan penyakit atau masalah.