Bagaimana Mengenal Perawat Islam Yang Sebenar? (I)

Sejak beberapa tahun ini, sudah tumbuh begitu banyak Pusat Perubatan Islam di Malaysia dan semakin ramai Perawat yang mula mempublisitikan diri mereka dengan kaedah Perubatan Ruqyah Syar'iyah serta menggunakan kaedah perubatan yang berlandaskan Syariat Islam. Syukur alhamdulillah di atas suasana positif yang mendorong ummat Islam ke arah pengamalan Ayatul Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai ikhtiar kepada segala jenis penyakit mahupun masalah.
 
Namun, masih ada beberapa persoalan di dalam hal Perubatan Islam ini yang perlu diperjelaskan, sebagaimana berikut:
.

1) Jaminan Kesembuhan Hanya Hakmilik Mutlak Allah SWT

Iktiqad, Niat dan Perbuatan kita di dalam proses perubatan adalah semata-mata sebagai IKHTIAR untuk mencari kesembuhan. Tidak ada jaminan bahawa sesuatu penyakit pasti sembuh sepenuhnya melalui sesuatu jenis perubatan; samada melalui Perubatan Moden (Allopathy), Perubatan Alternatif, Ruqyah Syar'iyah (jampi yang mengikut hukum Syari'e) atau sebagainya.

Antara Ubat dan Penyakit, perlu ada keserasiannya. Ada beribu jenis ubat-ubatan yang telah dikenalpasti dapat mengubati bemacam jenis penyakit; dari penyakit ringan hinggalah yang berat. Setiap kemujaraban sesuatu perubatan adalah dengan izin dan kuasa Allah SWT jua. Sekiranya bertepatan perubatan yang dijalankan ke atas sesuatu penyakit, maka kesembuhan mungkin dicapai; tetapi masih bukan satu jaminan mutlak antara sesuatu jenis perubatan dengan pencapaian kesembuhan. 

Sebagai orang Islam yang beriman; perlu menyakini bahawa kemujaraban sesuatu perubatan atau rawatan bagi sesuatu Penyakit (atau penyelesaian Masalah) adalah tertakluk sepenuhnya kepada hubungan makhluk dengan Maha Pencipta, Allah SWT.

Dalam konteks Perubatan Ruqyah Syar'iyah; sejauhmana hubungan dan keikhlasan seseorang itu; yakni Pesakit dan Perawat; dengan Allah SWT. Adakah dia seorang yang dikasihi Allah SWT? Adakah perbuatannya diredhoi Allah SWT? Adakah doanya mudah dikabulkan Allah SWT? Ini adalah perkara yang sangat penting di dalam mencari kesembuhan. Sesungguhnya, hanya Allah SWT Maha Penurun Penyakit; juga Maha Penyembuh.

Bukan setakat seseorang itu bergelar 'Ustaz', atau berjubah dan berserban; belum tentu terjamin di dalam mencapai kemujaraban perubatan dan rawatan. Seseorang Perawat yang mengaku dengan angkuh bahawa dirinya benar-benar berlandaskan Syariat Islam di dalam merawat Pesakit; atau malahan mencemuh Perawat Islam yang lain yang kononnya tidak berlandaskan Syariat Islam; adalah antara contoh tipikal gejala hasutan Syaiton ke atas mereka yang mahu mendekati Allah SWT. Na'uzubillahi min zalik.

Untuk menjadi Perawat Islam yang diredhoi Allah SWT (juga termasuk Pesakit), perlulah berpegang kepada Iman, Taqwa, Ilmu dan Amal (yang wajib dan sunat) yang jelas serta Istiqhomah (berterusan); sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Perawat perlu sentiasa bersyukur. Perlu sentiasa tunduk dan merendah diri. Tidak bermegah dan tidak berbangga diri dengan ilmu perubatan yang dimiliki. Bercakap besar, bermegah, angkuh, riak dan takbur adalah tanda-tanda awal seseorang itu bersekongkol dengan Syaiton. Maka, jauhilah diri kita dari Perawat yang bersifat sebegini.

“Bertanyalah kepada mereka: SIAPAKAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU dari langit dan bumi? Atau SIAPAKAH YANG MENGUASAI PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan SIAPAKAH PULA YANG MENTADBIRKAN URUSAN SEKALIAN ALAM? Maka mereka tetap akan menjawab dengan berkata: Allah jualah yang menguasai segala-galanya! Oleh itu, katakanlah: MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU BERTAKWA?”  (Yunus: 31)

“Dengan itu ALLAH MENUNJUKKAN JALAN-JALAN KESELAMATAN SERTA KESEJAHTERAAN kepada SESIAPA YANG MENGIKUT KEREDHOANNYA dan Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita kepada CAHAYA YANG TERANG-BENDERANG, dengan izinNya dan Tuhan menunjukkan mereka ke JALAN YANG LURUS.”  (Al-Maeda: 16)

 

2) Yang Luarbiasa Itu Belum Tentu Diredhoi Allah SWT

Dalam mencari kesembuhan, faktor keluarbiasaan (supernatural) itu tidak boleh kita jadikan sebagai sandaran di dalam memilih jenis perubatan atau Perawat yang akan mengubati kita. Jangan sesekali bersifat taksub kepada seseorang Perawat itu yang kononnya mampu memulihkan sesuatu Penyakit yang berat itu dengan cepat dan secara perubatan yang ringkas. 

“Sesungguhnya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali TIDAK ADA PELINDUNG DAN PENOLONG BAGIMU SELAIN ALLAH.” (At-Tauba: 116)

Memang ada, di atas kehendak dan izin Allah SWT; keajaiban mungkin boleh berlaku. Sekiranya seseorang itu adalah seorang yang diredhoi Allah SWT, mengapa tidak. Kuasa Allah tidak mungkin terbatas kerana Allah SWT itu Maha Menjadikan apa jua, secara kebiasaan atau secara luarbiasa. Tetapi perlu diingatkan bahawa perkara ajaib yang dapat berulang-ulang kali dilakukan, boleh membawa kepada kemungkinan besar berlakunya ISTIDRAJ; yakni perkara yang bertentangan dengan adat kebiasaan  (khoriqul adat / memecah adat) yang diizinkan Allah SWT untuk berlaku demi menambahkan lagi kesesatan dan kekufuran seseorang itu.

Sebagai contoh; seorang Perawat yang boleh mengubati penyakit jantung dengan memegang dada Pesakit dan serta-merta pesakit menjadi sihat dan boleh melakukan apa yang tidak mampu dilakukannya sebelum perubatan dilaksanakan. Juga contoh lain, seperti Perawat yang boleh membelah perut pesakit tanpa dirasakan kesakitan oleh pesakit; dan berbagai lagi contoh perkara-perkara pelik, aneh dan ajaib yang berlaku secara berulang-ulangan.

Adakah Perawat berkenaan memiliki kelebihan karomah sebagaimana golongan para wali Allah yang sangat tinggi akan tahap ilmu, iman dan amal ibadatnya? Mustahil Perawat adalah Nabi atau Rasul yang memiliki mukjizat. Nabi dan Rasul terakhir hanya Nabi Muhammad SAW. 

Inilah perkara-perkara yang perlu kita selidiki sekiranya kita ingin berikhtiar mencari kesembuhan dengan Perawat yang dikatakan hebat dan luarbiasa akan kepakarannya. Apa yang ditakuti Perawat berkenaan berkemungkinan berdampingan dengan Jin dan Syaiton, yang telah memperdayakannya; secara disedari atau tidak disedari. Ini bukan bermaksud tuduhan, tetapi sebagai panduan kepada Pesakit di dalam membezakan antara yang hak dan bathil. 

Maka, sebagai Pesakit, sudah pasti juga sudah terlibat dengan perbuatan syirik (menyekutukan Allah) dan kesesatan. Walau sembuh sekalipun (kebanyakannya sembuh sementara sahaja); diri kita dan kehidupan kita pastinya tidak mendapat keredhoan, rohmat dan barokah Allah SWT. Na'uzubillahi min zaalik. 

Sebagai contoh; pasangan dan anak cucu kita mengalami penyakit aneh yang sukar untuk diubati, jiwa dan kehidupan tiada mendapat ketenangan, sering ditimpa kesusahan dan kemalangan, rezeki sempit dan sebagainya; adalah antara kemungkinan yang sering berlaku sekiranya kehidupan kita tiada mendapat keredhoan, rohmat dan barokah Allah SWT. Wallahua'lam. 

 

3) Teknik Perubatan yang dijalankan mestilah tidak menggunakan bahan/medium yang bersifat haram, mungkar atau khurafat (karut).

Bahan/medium berikut adalah ditegah sepenuhnya dalam Perubatan Islam seperti: tangkal, azimat, rajah, darah, tanah kubur, kain kapan yang telah terpakai, air mandian mayat, najis haiwan, bangkai, sembelihan atau segala jenis batu, kayu, besi, buluh, rotan; atau barang yang dibuat dari emas, perak, tembaga, besi dan sebagainya; atau mengadakan ancak, jamuan, persalinan, mentera atau sebagainya; atau dikaitkan dengan resam haiwan seperti buaya, harimau, singa, beruang, burung helang dan sebagainya - yang semuanya sering dikaitkan dengan kemujaraban rawatan atau kesembuhan sesuatu Penyakit itu.

Rasulullah SAW telah bersabda (yang bermaksud): “Bahawasanya ALLAH TELAH MENURUNKAN PENYAKIT DAN UBAT dan dijadikan kepada SETIAP PENYAKIT ADA UBATNYA, berubatlah tetapi JANGAN BERUBAT DENGAN BENDA-BENDA YANG HARAM”. (HR Abu Daud)

Perlu juga diketahui bahawa ada penggunaan bahan/medium yang boleh menjadi ikhtiar di dalam proses perubatan; yang boleh menjadi setakat hukumnya HARUS dengan syarat dilakukan oleh orang yang mempelajarinya dengan TEKNIK yang BETUL dan TERBUKTI seperti: air, ais, garam, kain kapas, limau nipis, daun bidara, daun sireh, segala jenis bungaan, tumbuhan dan herba, madu, buah delima, minyak zaitun dan banyak lagi; yang tidak diharamkan dalam Islam.  

Sebagai contoh; sebagaimana sebilah pisau. Pisau adalah perkara yang menjadi HARUS lagi HALAL jika digunakan untuk tujuan kebaikan seperti memotong bahan untuk masakan untuk manusia. Pisau juga boleh menjadi keperluan dalam mengerjakan IBADAH seperti Korban, Aqiqah, Kenduri dan sebagainya.

Namun, pisau juga boleh menjadi perkara HARAM lagi MUNGKAR sekiranya digunakan untuk tujuan kejahatan seperti membunuh orang yang tidak bersalah atau sebarang kejahatan lain seperti kezaliman dan penganiayaan.

Maka, dengan kebijaksanaan perlu dilihat akan cara penggunaan sesuatu benda/medium itu; bukan secara terus menjatuhkan hukum tanpa ilmu yang mencukupi. Wallahu'alam.

“Nabi Musa menjawab: TUHAN KAMI ialah yang telah MEMBERIKAN KEPADA TIAP-TIAP SESUATU: KEJADIAN SEMULAJADINYA YANG SESUAI DENGANNYA, kemudian DIA MEMBERI PETUNJUK kepadanya akan CARA MENGGUNAKANNYA.” (Toha: 50)

“Dan TIADALAH KAMI MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA sebagai ciptaan yang tidak mengandungi HIKMAH DAN KEADILAN...” (Sad: 27)

(Bersambung)

Apakah pendapat anda tentang isu di atas?

Nama .
.
Pendapat / Cadangan .

Sila klik "Pertanyaan Rawatan" sekiranya anda ingin membuat pertanyaan berkaitan penyakit atau masalah.