Apakah Aura? (Bahagian II)

Aura Dalam Islam

Adakah aura itu bidaah dan sesat seperti dakwaan sesetengah pihak? Adakah kewujudan aura benar-benar boleh disahkan berulang-ulang kali dengan mata kasar? (iaitu dengan kaedah melihat aura di hujung jari, di tapak tangan, menggunakan cermin dan latar putih dalam cahaya suram). Apa yang mereka lihat aura itu sebagai cahaya putih atau berwarna, adakah itu dikatakan sesat dan bidaah? Adakah sains itu satu bidaah dan sesat? 

Memang benar terlalu banyak elemen-elemen agama ardhi diserapkan ke dalam pemahaman tentang aura terutama dari agama Hindu dan Buddha. Tetapi oleh kerana aura adalah satu elemen atau unsur yang kehadirannya boleh dibuktikan secara saintifik berulang-ulang kali seperti kewujudan elektrik dalam wayar tanpa pembalut di mana kehadiran dan kewujudan elektrik itu boleh dibuktikan, maka aura tidak relevan dikatakan sebagai semata-mata elemen-elemen agama ardhi atau berteraskan agama ardhi.

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

"Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Az-Zumar: 9)

Doa Nabi Muhammad SAW, diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam Mukhtarul Hadis:

Maksudnya:

"Ya Allah! Jadikanlah hatiku bercahaya, dan pada lidahku bercahaya dan jadikanlah pada penglihatan ku bercahaya dan pada  pendengaranku bercahaya, dan dari kanan ku bercahaya, dan dari kiriku bercahaya, dan daripada atas ku bercahaya, dan daripada bawah ku bercahaya, dan dari muka ku bercahaya, dan dari belakang ku bercahaya, dan jadikanlah pada diriku bercahaya dan sebesar-besar bagiku bercahaya."  

Cahaya adalah satu bentuk gelombang elektromagnetik dan aura juga adalah satu gelombang elektromagnetik. Kedua-duanya terpancar daripada suatu jisim atau dan jumlah pancaran bergantung kepada sumbernya. Aura adalah satu bentuk cahaya atau sinaran elektomagnetik yang terpancar dari hidupan dan unsur alamiah.  

Walaupun cahaya dalam hadis di atas mungkin boleh dikaitkan dengan aura, TETAPI perlu diingatkan bahawa beribadat semata-mata untuk mendapatkan kehebatan aura; boleh membawa kepada kesyirikan dan akan terpesong akidah - tambahan pula dengan pengaruh tipudaya dan hasutan syaitan dan iblis yang sangat halus, sekiranya tidak berpegang kuat kepada Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias.   

Firman Allah SWT (yang bermaksud):  

"Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras dan SYAITAN pula memperelokkan pada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Al-Anaam: 43)

Secara Islamiah, aura (atau aura cahaya) memang wujud pada setiap zat ciptaan Allah SWT seperti manusia, haiwan, tumbuhan, bungaan, buahan serta unsur alam semulajadi seperti batu, kayu dan besi TETAPI dengan tahap kekuatan dan rupabentuk yang berbeza-beza dan unik antara setiap satunya. Wajib berpegang bahawa aura yang wujud pada semua manusia itu (samada manusia itu beragama Islam atau tidak) adalah merupakan hasil ciptaan dan kurniaan Allah SWT Maha Pencipta semata-mata. Iqtiqad, kepercayaan, niat dan perbuatan perlulah diperbetulkan agar tidak berlaku syirik dan menyimpang dari landasan Islam.

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

"Allah yang menerangi LANGIT dan BUMI. Bandingan NUR hidayat petunjuk Allah adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca, geluk kaca itu pula laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya; hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan CAHAYA bersinar walaupun ia tidak disentuh api; CAHAYA berlapis CAHAYA. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada NUR hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (An-Nur: 35) 

"Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan..." (Sad: 27)

Walaupun sains telah membuktikan kewujudan aura dengan penggunaan akal dan kepandaian manusia; namun sebagai orang Islam yang beriman, kita wajib percaya bahawasanya penciptaan dan kejadian aura ini adalah untuk membuktikan kehebatan dan kebesaran Allah SWT sebagai Tuhan Sekelian Alam, Maha Pencipta dan Maha Menguasainya segalanya di langit dan di bumi.  

Sumber Kekuatan Aura
 
Kekuatan aura seseorang itu perlulah bersumberkan dari keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita tidak boleh sama sekali menerima bahawa aura seseorang itu wujud atau meningkat disebabkan oleh 
makhluk lain (Cthnya: guru, jin, khadam, wali, sheikh, panglima, roh orang lain dan sebagainya) ATAU dari sesuatu benda, produk atau teknik kemanusiaan (Cthnya: minyak wangi, teknik pernafasan dalaman, diperturunkan, dipinjamkan, dihantar, kayu koka, batu cincin, keris dan berbagai lagi) - yang boleh menjerumus kepada perkara khurafat. Nau'zubillah.
 
Firman Allah SWT (yang bermaksud):
 
"Bertanyalah kepada mereka: Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? maka mereka tetap akan menjawab dengan berkata: Allah jualah yang menguasai segala-galanya! Oleh itu, katakanlah: maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?" (Yunus: 31)

Sebagai seorang Islam yang benar-benar beriman; kita wajiblah berpegang bahawa kekuatan aura seseorang bergantung kepada Keimanan yang kukuh, Ilmu yang mencukupi, Amalan Ibadat Wajib dan Sunat serta Akhlak yang mulia - yang semuanya berlandaskan Hukum Syarak dan Syariat Islam. Bukannya dengan menumpukan fokus kepada aura itu sendiri, yakni dengan membetulkan aura agar menjadi lebih beriman dan berakhlak mulia, sebagaimana dakwaan sesetengah pengamal ilmu aura.
 
Ingin ditegaskan bahawa aura cahaya yang kuat, bersih, sihat dan sempurna hanya datang melalui keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT beserta amalan kebersihan berterusan secara zahiriah dan batiniah. Penggunaan segala teknik dan kaedah bagi menguatkan aura adalah semata-mata sebagai alat bantuan dan sokongan sahaja kerana sifat semulajadinya yang dijadikan oleh Allah SWT DAN tidak boleh dianggap sebagai sumber atau punca mutlak tenaga aura. Contohnya seperti penggunaan warna yang tertentu bagi pakaian dan ruang bilik, penggunaan batu-batu kristal, jenis-jenis kayu, tumbuhan, sistem pencahayaan dan pengudaraan; termasuklah penggunaan ubat-ubatan, makanan tambahan, aroma terapi, minyak wangi atau apa sahaja yang mengaitkan aura.
 
Firman Allah SWT (yang bermaksud):
 
"Dengan itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita kepada CAHAYA yang terang-benderang, dengan izinNya dan Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Al-Maeda: 16)
 
"Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam CAHAYA dari Tuhannya? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata." (Az-Zumar: 22)
 
"Sesungguhnya pada KEJADIAN LANGIT DAN BUMI dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang BERAKAL;" (Ali-Imran: 190)
 
"Nabi Musa menjawab: Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: KEJADIAN SEMULAJADINYA yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan CARA MENGGUNAKANNYA." (Toha: 50)

Secara ringkasnya; manusia, haiwan, tumbuhan, bungaan, buahan serta unsur alam semulajadi seperti batu, kayu dan besi (serta warna-warna) memang mempunyai aura (atau aura cahaya) dan bukanlah sesuatu yang aneh, pelik atau mustahil atau sesat atau bidaah. Namun, tahap aura (kuat, normal atau lemah), rupabentuk dan penjenisannya adalah berbeza-beza serta unik antara setiap satunya mengikut kehendak dan ketentuan Allah SWT. Ingin ditegaskan (untuk orang-orang yang beriman) bahawa penggunaan dan peningkatan aura ini TIDAK BOLEH datangnya dari sumber lain selain dari ayat-ayat Al-Quran, Zikirullah dan Doa-doa Mustajab kepada Allah SWT sahaja, beserta keimanan dan ketaqwaan yang kental. 
 
Sekiranya bersumberkan yang lain, maka ianya boleh membawa kepada kesesatan, kesyirikan, kekufuran, kemunafiqan dan kekhurafatan (maka samalah kita seperti orang-orang kafir yang mempercayai bulat-bulat kpd sains dan duniawi semata-mata). Perlulah diketahui bahawa kekuatan dan kelebihan tenaga aura yang tidak berasaskan ajaran Islam memang juga wujud (selagi diizinkan oleh Allah SWT).
 
Firman Allah SWT (yang bermaksud):
 
"Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah." (Ghofir: 21)
 
"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya, iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini?: Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik." (Al-Baqoroh: 26)
 
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya; dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." (An-Nisa: 116)
 
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta menghalang orang-orang lain dari jalan Allah, sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." (An-Nisa: 167)

Segala jin, syaitan dan iblis juga mempunyai kemampuan untuk menjadikan seseorang manusia itu nampak hebat melalui penipuan dan sihir mereka, secara halus dan tidak disedari; demi untuk menyesatkan umat manusia, anak cucu Nabi Adam as. Maka janganlah kita hairan atau kagum terhadap mana-mana manusia yang mendakwa mempunyai kehebatan atau tenaga aura yang hebat dan luarbiasa melalui sesuatu makhluk, benda, produk atau teknik kemanusiaan (atau percampuran dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan Zikirullah - bagi menampakkan zahir yang elok) kerana Allah SWT juga mengurniakan Istidraj dan Ihanah untuk menambahkan kefasiqan mereka - kerana Allah SWT telah melaknati mereka ini. 
 
Firman Allah SWT (yang bermaksud):
 
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Al-Araf: 179)

Aura Orang Beriman
 
Hadis riwayat Abu Hurairah RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): 
 
"Kalian adalah orang-orang yang memiliki CAHAYA MUKA, CAHAYA TANGAN dan CAHAYA KAKI pada hari kiamat, kerana penyempurnaan wudu'. Maka barang siapa di antara kalian yang mampu, hendaklah ia memanjangkan CAHAYA PUTIH tersebut.

Walau tidak disebut dengan istilah "AURA" dalam Al-Quran, tetapi terdapat beberapa ayat yang menerangkan tentang CAHAYA aura ini dengan agak jelas.

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa. Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mu’min yang bersama dia; sedang CAHAYA mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (At-Tahriim: 8)
 
"... pada hari ketika kamu melihat orang mu’min laki-laki dan perempuan, sedang CAHAYA  mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada meraka): "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (yaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar.” (Al-Hadiid: 12)
 
"Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari CAHAYAMU”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri CAHAYA (untukmu)”. Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada siksa."(Al-Hadiid: 13)

Apa yang pasti sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran, orang mukmin mempunyai auranya yang tersendiri mengikut amalannya, dimana aura itu bersilau-silau dari dalam dirinya.
 
Kisah tentang aura ini diceritakan bahawa syaiton yang melalui satu lembah, apabila diketahuinya bahawa Syaidina Umar RA akan melalui laluan yang sama maka segeralah syaiton itu cabut lari lintang pukang mencari jalan lain. Juga diceritakan mukjizat nabi Rasullulah SAW, wajah baginda memancarkan cahaya di kegelapan pada waktu sahur.

Kesimpulan

Sekiranya didikan-didikan aura yang berteraskan sains duniawi, ajaran agama animisme dan ardhi, atau kerohanian moden serta tanpa menyertakan keimanan dan ketaqwaan terhadap ayat-ayat Allah SWT secara mutlak dan hakiki; maka bahan-bahan yang mengeluarkan aura yang digunakan juga “berkemungkinan” mengandungi elemen-elemen sihir, jin dan syaitan, samada secara terangan atau tersembunyi.

Jika tenaga rangsangan atau kekuatan itu adalah semata-mata berpunca dari produk aura atau kekuatan manusia (pemberi aura) - adalah pegangan dan dakwaan yang tidak boleh diterima oleh ajaran Islam, yang boleh membawa kepada kesesatan; kerana perlu diingat bahawa bukan semua yang ghaib itu datangnya dari Allah SWT (walaupun diizinkan olehNya kerana Allah Maha Mengetahui segalanya). Sekali lagi dinyatakan bahawa jin, syaiton dan iblis juga boleh memberikan kelebihan yang luarbiasa kepada manusia dengan tujuan untuk menyesatkan dan merosakkan umat manusia, terutamanya umat Islam di akhir zaman ini.

Firman Allah SWT (yang bermaksud):
 
"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu CAHAYA, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (As-Shuro: 52)
 
"Orang-orang yang beriman, dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kedzaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Al-An'aam: 82)

"Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya." (Al-Jathiyah : 13)
 
Artikel tulisan:
Indera Saifullah Tahir
PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM™
 
Rujukan Asal: 
http://blogkaryait.wordpress.com/2010/08/01/bicara-tentang-aura-jangan-terlalu-fanatik/

Apakah pendapat anda tentang isu di atas?

Nama .
.
Pendapat / Cadangan .

Sila klik "Pertanyaan Rawatan" sekiranya anda ingin membuat pertanyaan berkaitan penyakit atau masalah.