Program Sumbangan Kuih Raya 2025: Maahad Tahfiz Baitul Aini

Pada 25 Mac 2025, PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab telah meneruskan usaha kebajikan dan dakwah melalui aktiviti ziarah dan penyampaian sumbangan di MAAHAD TAHFIZ BAITUL AINI, Kuang; yang dipimpin oleh al-Fadhil Mudir, Ustaz Akramir Abdul Salim.

Wakil daripada PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM, iaitu Hj Zain Misbah dan Ustaz Shakir Dato’ Amini, telah menyampaikan sumbangan istimewa berupa kuih raya kepada seluruh pelajar dan kakitangan maahad tersebut. Apa yang lebih menyentuh hati, sumbangan ini adalah hasil tajaan para bekas pesakit kami yang telah merasai sendiri keajaiban Rawatan dan Terapi Al-Quran, lalu terpanggil untuk menyumbang kembali sebagai tanda syukur atas kesembuhan yang Allah SWT kurniakan.

Sesungguhnya, inilah nilai yang ingin terus kami suburkan di PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM; iaitu nilai syukur, kasih sayang dan kebersamaan dalam membina kekuatan ummah melalui ilmu, amal dan silaturrahim.

Kami percaya bahawa menyantuni para huffaz dan pejuang ilmu Al-Quran adalah satu bentuk ibadah yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Moga sumbangan kecil ini menjadi asbab keberkatan kepada para penaja dan seluruh warga maahad, serta menambah semangat buat para pelajar untuk terus menghafaz dan menghayati Kalamullah.

Syukur alhamdulillah atas izinNya yang mempermudah segala urusan. Semoga setiap sumbangan ini diterima sebagai amal soleh dan dikurniakan ganjaran pahala yang berpanjangan hingga ke akhirat kelak. Aamiin ya Robbal ‘alamiin.