Mewakaf Al-Quran Kepada KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): "Apabila mati seseorang itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: SEDEKAH jariah, ILMU yang termanfaat dan ANAK yang soleh mendoakan untuknya."
.
Pada hari Jumaat, tanggal 6 Julai 2012; Ketua Perawat dan Pengasas PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM, Cikgu Indera Saifullah telah berkesempatan meluangkan masa untuk melawat KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan yang terletak di kawasan Pangsapuri Sri Meranti, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur. Adapun tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk menyampaikan sejumlah 32 naskah kitab Al-Quran yang telah diwakafkan kepada pihak KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan.
.
Menurut Ustazah Hayati, Pengetua KAFA Intergrasi Ar-Ridhuan; penyampaian kitab-kitab Al-Quran tersebut amatlah dihargai kerana ianya memang diperlukan oleh para pelajar di sekolah tersebut. Menurutnya lagi, kitab-kitab Al-Quran yang diwakafkan ini akan disimpan di sekolah dan akan dipinjamkan kepada para pelajar semasa Kelas Mengaji Al-Quran. Buat masa ini, terdapat kira-kira 200 orang pelajar, dari Tahun 1 hingga 6; yang mengikuti pengajian agama di sekolah itu.
.
Adapun kitab-kitab Al-Quran yang telah disampaikan itu adalah merupakan sebahagian kecil dari kitab-kitab Al-Quran  yang telah diwakafkan oleh para Pesakit yang telah mendapatkan rawatan di PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM. 

PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM telah bertindak sebagai pengumpul wakaf dan akan mencari badan, organisasi atau individu Islam yang memerlukan wakaf tersebut. Kitab Al-Quran adalah dikategorikan sebagai Wakaf Al-Manqul (Harta Alih) iaitu harta yang boleh dipindahkan. Antara harta lain di dalam kategori ini ialah seperti wang tunai, buku, meja, pakaian, senjata, alat pertanian, binatang yang boleh diambil susunya dan sebagainya lagi. 
 
Semoga segala aktiviti berkaitan mewakaf kitab-kitab Al-Quran ini mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah SWT serta dapat dilaksanakan kepada badan, organisasi dan individu Islam yang lain pula, samada diperingkat tempatan mahupun luar negara. In shaa Allah.
 
Firman Allah SWT (yang bermaksud): "Perumpamaan orang yang MENYEDEKAHKAN HARTANYA di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah MELIPATGANDAKAN bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui." (Al-Baqoroh: 261)
.
Ustazah Hayati dan Cikgu Indera
.
.
.
.
.