Jamuan Aidilfitri 1435 Hijrah: Rohmat Dalam Ukhwah
Walaupun di dalam kesibukan merawat para Pesakit setiap hari; pada 20 Syawal 1435H bersamaan 16 Ogos 2014 yang lalu, pihak kami telah berkesempatan mengadakan Majlis Jamuan Aidilfitri PUSAT RAWATAN AL-QAYYUM. Alhamdulillahi robbil 'alamin.
Kira-kira 200 orang tetamu yang terdiri daripada para sahabat-handai, kenalan, bekas Pesakit, sanak saudara serta jiran-tetangga telah sudi hadir bagi memeriahkan majlis. Walaupun majlis yang dijalankan adalah secara kecil-kecilan dan ala-kadar sahaja, namun kemeriahan dan kegembiraan tetap terpancar di dalam suasana ukhwah Islamiah.
Semoga dalam mendapat apa jua kesenangan, kenikmatan dan kurniaan Allah SWT, janganlah kita lupa berdoa kepada Allah SWT agar umat Islam di seluruh mukabumi yang sedang berada dalam penderitaan, yang sedang menghadapi kesakitan, kesedihan, kesusahan mahupun yang berada dalam peperangan; akan segera mendapat kebaikan, kesembuhan dan keamanan di dunia dan di akhirat; dari segala bencana, musibah dan malapetaka. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara sebagai tempat untuk mengambil ujian semata-mata; bagi orang Islam. Akhirat jualah tempat yang kekal abadi.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“ADAKAH PATUT KAMU MENYANGKA BAHAWA KAMU AKAN MASUK SYURGA, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: 'Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?' ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”. (Al-Baqoroh: 214)
Ustaz Marzili Abdul Rashid, Imam Besar, Surau Al-Ukhwah