Penghargaan Dari Universiti Malaya dan JAKIM

Syukur alhamdulillah. Pada hari Khamis, 18 Mac 2021, Pusat Rawatan Al-Qayyum telah berbesar hati menerima kunjungan daripada pasukan penyelidik khas dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Pasukan itu diketuai oleh Dr Mohd Syukri bin Zainal Abidin dan dibantu oleh Ustaz Mohd Amirul Husni bin Zulkifli. 

Pihak Pusat Rawatan Al-Qayyum, yang dipimpin oleh Cikgu Indera Saifullah Tahir, selaku Ketua Pegawai Eksekutif; telah memberikan penerangan dan perkongsian maklumat berkaitan sejarah penubuhan serta kaedah-kaedah Pengubatan Islam yang dijalankan di Pusat Rawatan Al-Qayyum; terutamanya berkaitan rawatan bagi masalah di dalam rumahtangga dan masalah para remaja yang semakin meningkat saban hari.

Adapun penyelidikan di peringkat kebangsaan yang dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini adalah berkaitan dengan "Pendekatan 'Ilaj Syar'ie Dalam Menangani Gejala Sosial". Penyelidikan ini juga turut melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

Perkongsian maklumat juga telah turut disampaikan oleh Hj Zain Misbah, Perawat Kanan, Pusat Rawatan Al-Qayyum. Turut hadir bersama di dalam sesi itu ialah Ustaz Shakir Aqmal Dato' Amini dan Ustaz Raja Hishamuddin Raja Mohamed.

Di atas segala kerjasama dan perkongsian maklumat yang diberikan, Pusat Rawatan Al-Qayyum telah menerima sebuah Plak Penghargaan. Terima kasih kepada pihak Universiti Malaya dan JAKIM di atas penghargaan ini. Sesungguhnya penghargaan ini telah memberikan kami suntikan semangat untuk terus berjuang menentang kejahatan dan kezaliman manusia, jin, syaiton dan iblis laknatullah; yang sememangnya telah pun bermula sejak azali lagi.

Pihak Pusat Rawatan Al-Qayyum sangat menyokong penuh penyelidikan yang dijalankan ini. Adalah diharapkan agar hasil penyelidikan ini kelak akan dapat membantu di dalam menangani lambakan masalah sosial pada hari ini. Semoga penyelidikan ini juga dapat membuktikan bahawa Amalan Pengubatan Islam ('Ilaj Sya'rie)  adalah antara pendekatan yang sangat perlu dilaksanakan bagi membentuk kehidupan masyarakat yang lebih sejahtera, aman dan makmur. In shaa Allah.
.
.
.

Apakah pendapat anda tentang isu di atas?

Nama .
.
Pendapat / Cadangan .

Sila klik "Borang Online > Pertanyaan Rawatan" sekiranya anda ingin membuat pertanyaan berkaitan penyakit atau masalah.