Kaedah Memulih Rumah (I)

Berikut adalah beberapa kaedah Rawatan dan Terapi Al-Quran bertujuan untuk ‘memulih’ rumah kita dari gangguan Jin dan Syaiton.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang BERTAQWA KEPADA ALLAH, nescaya akan dijadikan baginya JALAN KELUAR. Serta memberinya REZEKI DARI JALAN YANG TIDAK TERLINTAS hatinya. Dan, sesiapa BERSERAH DIRI BULAT-BULAT kepada Allah, maka ALLAH CUKUPKAN baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. ALLAH TELAHPUN MENENTUKAN KADAR DAN MASA bagi BERLAKUNYA tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq: 2-3) 

Adapun kaedah-kaedah yang dikongsikan ini telah diringkaskan, sebagai panduan secara umum untuk orang-orang Islam yang beriman dan bertaqwa. In shaa Allah.

1) Amalan Solat, Membaca Al-Quran dan Berzikir

Menjadikan amalan Solat Fardhu (serta kerap melakukan Solat-solat Sunat seperti Dhuha, Tahajjud, Taubat, Hajat dan Witir), membaca Al-Quran serta berzikir dengan nama-nama Allah; sebagai aktiviti yang dilakukan setiap hari di rumah berkenaan oleh semua penghuninya yang mencapai kewajiban. Adalah sangat afdhol jika dilakukan secara berjemaah.

Dengan perkataan lain, tidak sengaja meninggalkan Solat Fardhu Lima Waktu - sebagai kewajiban yang mutlak ke atas orang Islam. Orang Islam yang tidak mengerjakan Solat Fardhu, sudah tentu disukai oleh para Jin dan Syaiton; maka menjadi tersangat mudahlah bagi mereka untuk sentiasa bersama orang itu keluar masuk dari rumah berkenaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan SOLAT dan membaca AL-QURAN.” (HR Baihaqi)

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah PERTOLONGAN dengan BERSABAR dan dengan (mengerjakan) SOLAT; kerana sesungguhnya ALLAH MENYERTAI (menolong) ORANG-ORANG YANG SABAR” ( Al-Baqoroh:153)

“Bagi mereka (disediakan) DARUSSALAM (syurga) pada sisi Tuhannya dan DIALAH PELINDUNG mereka disebabkan AMAL-AMAL SOLEH yang selalu mereka kerjakan.” (Al-An’am: 127)

2) Amalan Surah-surah Anti-Jin dan Syaiton 

Mengamalkan secara peribadi (atau sangat afdhol secara berjemaah bersama ahli keluarga) membaca Surah Yassin dan /atau Al-Ma'thurat (Al-Kubro atau Al-Sughro) atau sekurang-kurangnya turutan berikut: Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqoroh: 1-5, Ayat Kursy, Surah Al-Baqoroh: 284-286 serta Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas dengan jelas selepas setiap Solat.

*NOTA: Sekiranya berkemampuan, bolehlah dengan sekerap mungkin diadakan Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Keselamatan atau Majlis Ilmu seperti Tazkirah, Ta'lim dan sebagainya secara berjemaah dengan penduduk setempat bagi mengimarahkan lagi kediaman kita.

Nabi SAW telah bersabda kepada Ibn Abi al-Juhani: “Inginkah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik apa yang digunakan untuk PENDINDING bagi mereka yang meminta perlindungan?” Beliau menjawab: “Mahu, wahai Rasulullah.” Lalu baginda bersabda: “Qul a’uuzubi robbil falaq dan Qul a’uuzubi robbin naas.” (HR Al-Nasa’i, Ahmad dan Al- Baihaqi) 

“JANGANLAH kamu jadikan rumahmu seperti KUBUR (hanya untuk tidur), sesungguhnya RUMAH yang dibacakan SURAH AL-BAQARAH tidak akan dimasuki syaiton.” (HR Ahmad, Tirmidzi, Muslim dan Nasa'i)

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan INGATLAH APA YANG DIBACAKAN DI RUMAHMU dari AYAT-AYAT ALLAH dan HIKMAH (Sunnah Nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.” (Al-Ahzab: 34)

“Dan jika SYAITON MENGGANGGUMU dengan suatu gangguan, maka MOHONLAH PERLINDUNGAN KEPADA ALLAH. Sesungguhnya Dia-lah Yang MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI.” (Fussilat: 36) 

“Dan ALLAH LEBIH MENGETAHUI (daripada kamu) tentang musuh-musuhmu. Dan CUKUPLAH ALLAH MENJADI PELINDUNG (bagimu). Dan CUKUPLAH ALLAH MENJADI PENOLONG (bagimu).” (An-Nisa: 45)

3) Audio Bacaan Ruqyah Syar’iyah

Selalu memainkan Audio Bacaan Ruqyah Syar’iyah atau ayat-ayat Al-Quran yang lain di dalam rumah berkenaan; siang dan malam. Adapun perkara ini bukanlah sebagai satu kaedah yang mutlak untuk ‘memulih’, ‘membersih’ dan ‘memagar’ rumah; tetapi adalah sebagai ikhtiar sokongan secara istiqomah bagi melemahkan Jin dan Syaiton yang mendengarnya.

4) Melupuskan Benda-benda Yang Haram

Memastikan tidak ada sebarang jenis perkara-perkara berikut (di dalam rumah, di luar rumah, digantung atau ditanam): 

a) Patung yang dijadikan perhiasan, gambar di dinding seperti: manusia (bukan ahli keluarga/ulamak/pemimpin), manusia dewasa yang tidak menutup aurat, gambar haiwan, gambar salib, gambar menakutkan dan gambar lucah; video lucah, barang yang dicuri, bangkai (haiwan yang telah diawet), perbuatan maksiat (berzina, berjudi, minum arak dll) dan sebagainya lagi yang mungkar lagi haram. 

“TIDAKLAH MALAIKAT MASUK ke dalam sebuah RUMAH yang ada di dalamnya PATUNG-PATUNG atau GAMBAR-GAMBAR.” (HR Muslim)

b) Segala jenis tangkal, azimat, rajah, simbol, tulisan, huruf, kain, benang, tali, besi, kayu, buluh, rotan, batu atau sebagainya yang telah dianggap secara iqtiqad, niat atau perbuatan; secara sedar atau tidak sedar; dapat mendinding atau menghindari rumah dari gangguan Jin atau Syaiton. Termasuklah jenis azimat ayat Quran yang ditulis / dicetak / fotokopi di atas kertas / kain dan dilipat-lipat.

c) Juga barang-barang logam (timah, besi, tembaga, gangsa, perak atau emas) yang dianggap keramat, berkuasa atau berkebolehan; secara iktiqad, niat atau perbuatan pembuatnya (bomoh) yang sesat, syirik dan mungkar; atau sememangnya sudah diketahui oleh Penghuni rumah berkenaan barang itu dijaga atau dikhadami oleh Jin, Wali, Roh atau sebagainya; seperti Keris, Pedang, Parang, Tombak, Dulang, Gelang, Cincin, Rantai, Kacip, Tepak Sirih, Ladam Kuda, Tahi Besi, Paku, Duit Syiling dan sebagainya.
.
Semua perkara di atas adalah menjadi HARAM kerana menjadi perkara mungkar, syirik dan khurafat yang dilakukan oleh Penghuni rumah berkenaan; yang menjadikan Jin dan Syaiton sangat menyukai untuk terus berada dalam rumah berkenaan; serta mampu menarik lebih banyak Jin dan Syaiton untuk menumpang sama.
.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Orang-orang yang BERIMAN, dan TIDAK MENCAMPUR-ADUKKAN IMAN MEREKA DENGAN KEZALIMAN (SYIRIK), mereka itulah orang-orang yang mendapat KEAMANAN dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat PETUNJUK”. (Al-An'am: 82)
.
Berdasarkan pengalaman kami, orang Islam yang suka mempercayai kepada perkara-perkara seperti tangkal dan benda-benda yang tahyul dan sesat (secara jelas atau tersembunyi) inilah yang kerap mengalami gangguan Jin; samada di rumah mereka, tempat bekerja, premis perniagaan dan/atau kesakitan ke atas diri mereka sendiri atau ahli keluarga – yang berpunca dari iqtiqad, niat dan/atau perbuatan mereka sendiri – yang menyekutukan Allah SWT. Na'uzubillah.
.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan TINGGALKANLAH ORANG-ORANG yang menjadikan AGAMA mereka sebagai MAIN-MAIN dan SENDA-GURAU, dan mereka telah DITIPU OLEH KEHIDUPAN DUNIA. Peringatkanlah (mereka) dengan AL-QURAN itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam NERAKA, karena perbuatannya sendiri. TIDAK AKAN ADA BAGINYA PELINDUNG dan tidak (pula) PEMBERI SYAFA'AT SELAIN DARIPADA ALLAH. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun, niscaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang DIJERUMUSKAN KE DALAM NERAKA, DISEBABKAN PERBUATAN MEREKA SENDIRI...” (Al-An’am: 70)
.
Walau bagaimanapun, penggunaan ayatul Quran yang digantung di dinding adalah menjadi harus sebagai ikhtiar yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran; tetapi masih tidak boleh dianggap satu perkara mutlak untuk menghalau Jin dan Syaiton - sekiranya tidak diamalkan ayatul Quran tersebut secara lisan dan tartil (bacaan betul dan tepat); dengan keimanan, ketaqwaan dan secara istiqomah (berterusan) oleh Penghuni rumah berkenaan.
.

Apakah pendapat anda tentang isu di atas?

Nama .
.
Pendapat / Cadangan .

Sila klik "Borang Online > Pertanyaan Rawatan" sekiranya anda ingin membuat pertanyaan berkaitan penyakit atau masalah.