Bagaimana Mengenal Perawat Islam Yang Sebenar? (II)

4) Teknik perubatan yang digunakan adalah tidak mengaitkan dengan unsur-unsur ghoib (selain Allah SWT), mendengar suara, bermimpi, 'menurun' atau rasukan demi mencapai kemujaraban perubatan.

Di dalam masyarakat; unsur ghoib (yang kononnya memiliki kuasa hebat tersendiri) seperti jin, mambang, roh, semangat, panglima, puteri, orang bunian, wali, sheikh, keturunan dan sebagainya; adalah sangat sinonim dengan perihal perubatan tradisional semua bangsa dan agama.

Manusia adalah sebaik-baik kejadian dan merupakan makhluk yang paling mulia disisi Allah SWT. Tidak perlu; malahan adalah hukumnya haram lagi mungkar dalam mencari kesembuhan atau kesenangan dunia melalui makhluk lain (yang pastinya penyamaran oleh Syaiton); walaupun yang mengaku sebagai beragama Islam.

"Katakanlah: Sekali-kali TIDAK AKAN MENIMPA KAMI MELAINKAN APA YANG TELAH DITETAPKAN OLEH ALLAH bagi kami. DIALAH PELINDUNG kami, dan HANYALAH KEPADA ALLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN HARUS BERTAWAKAL." (At-Tauba: 51)

 

5) Perubatan Islam itu bukan setakat Ruqyah Syar'iyah sahaja.

Perlu diketahui bahawa Ruqyah Syar'iyah itu adalah salah satu cabang dalam Perubatan Islam. Islam tidak pernah melarang apa jua Kaedah Perubatan, selagi tidak bertentangan dengan Syariat Islam. 

Asal usul Perubatan Moden yang ada di Klinik dan Hospital hari ini juga adalah berasal dari idea dan kebijaksanaan para Ilmuan Islam; sebagaimana dalam alatan pembedahan, anatomi, bius, ubat-ubatan dan sebagainya lagi; termasuklah institusi hospital dan profession kedoktoran (tabib) itu sendiri. 

Adapun Kaedah Perubatan Alternatif seperti Bekam, Akupuntur, Sauna, Terapi Aroma, Terapi Warna, Terapi Aliran Elektrik, Urutan, Refleksologi, Aura, Tenaga dan banyak lagi; adalah menjadi harus kepada orang Islam di dalam berikhtiar mencari kesembuhan Penyakit dan Masalah; selagi berlandaskan Syariat Islam serta tidak bercanggah dengan Aqidah. 

Membaca Ayatul Quran itu adalah satu keperluan bagi orang Islam yang beriman, sebelum memakan sebarang ubat atau memulakan sebarang rawatan. Setidak-tidaknya dengan membaca kalimah 'Bismillahi rohman nirrohim'. Al-Quran adalah salah satu dari Rukun Iman dan perlu sentiasa dijunjung serta perlu berada terdahulu dari perkara-perkara yang lain. Al-Quran adalah keperluan kepada orang-orang yang beriman; dan BUKAN PERUBATAN ALTERNATIF. Al-Quran bukan hanya dicari dan didengari pada waktu sakit semata-mata. Al-Quran perlu dibaca; atau sekurang-kurangnya didengari setiap hari. Al-Quran adalah MUKJIZAT terbesar bagi Nabi Muhammad SAW (yang ditinggalkan pada umat Baginda yang dikasihi) dan adalah KATA-KATA ALLAH SWT.

“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari AL-QURAN ayat-ayat suci yang menjadi UBAT PENAWAR dan RAHMAT bagi ORANG YANG BERIMAN kepadanya.” (Al-Isro’: 82) 

“Katakanlah: AL-QUR’AN itu ialah PETUNJUK DAN PENAWAR.” (Al-Fussilat: 44)

Maka, ingatlah bahawa AL-QURAN BUKAN PERUBATAN ALTERNATIF. Al-Quran adalah keperluan bagi orang-orang-orang yang beriman; setiap masa dan ketika. Al-Quran itu sangat hebat dan tidak ternilai akan kehebatannya. Al-Quran adalah cahaya; adalah rohmat sekelian alam. 

Perubatan Islam perlu dilihat dari skop yang luas dan dinamik, iaitu berevolusi seiring dengan tamadun manusia. Membaca Ayatul Quran adalah satu kemestian di dalam mencari kesembuhan; seiring dengan segala ibadah yang lain seperti Solat Wajib dan Solat Sunat, bersedekah, berbuat kebaikan dan sebagainya. Namun, janganlah sesekali mencetekkan ajaran Islam dengan hanya menganggap Perubatan Islam hanya dengan membaca Ayatul Quran. Astaghfirullahal 'azim. 

Perubatan Islam itu sangat luas dan mencakupi apa jua yang terkandung di antara langit dan bumi; dengan izin, kehendak dan kuasa Allah SWT jua; Tuhan Yang Maha Bijaksana. Namun, yang dikatakan menjadi perubatan itu, perlulah berpandukan kepada Hukum Syari'e pada setiap masa dan bukannya di atas pertimbangan akal yang ketandusan ilmu pengetahuan.

Sabda Rasulullah SAW: "ALLAH menurunkan PENYAKIT dan menurunkan pula UBATNYA, DIKETAHUI OLEH YANG MENGETAHUI DAN TIDAK AKAN DIKETAHUI OLEH ORANG YANG TIDAK MENGERTI" (HR Al-Bukhori dan Muslim)

Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi SAW sabdanya: “TIAP-TIAP PENYAKIT ITU (ADA) UBATNYA. Apabila MENEPATI UBAT TERHADAP PENYAKIT TERSEBUT, MAKA SEMBUHLAH dengan IZIN ALLAH” (HR Muslim dan Ahmad)

 

6) Bolehkah Perawat Islam melihat rupa jin? Berapa jumlah jin?

Perlu kita akui bahawa ilmu dari Allah SWT itu sangat luas. Melihat sesuatu makhluk yang diluar kemampuan mata kasar manusia, bukanlah sesuatu yang aneh sebenarnya. Sebagaimana manusia dapat melihat rupa bakteria, virus dan malahan segala sel serta genetik yang hidup dan juga tidak hidup, sinar ultraviolet, sinar gamma, bintang, galaksi dan segalanya yang tersangat halus dan tersangat jauh; dengan peralatan berteknologi tinggi masa kini; yakni dengan mempelajari dan mempraktikkan ILMU pengetahuan yang betul, maka tidaklah menjadi perkara mustahil kepada manusia. 

Ada pendapat yang mengatakan bahawasanya, setiap orang yang dapat melihat jin itu sebenarnya berdampingan atau dirasuk dengan jin! Pendapat ini adalah sangat cetek. Memang benar, dalam kebanyakan kes yang berkaitan dengan gangguan jin, seseorang Pesakit yang dirasuki oleh jin; memang mampu untuk melihat makhluk jin yang berada di dimensi/alam yang lain. 

Tetapi, perkara itu tidak sentiasa berlaku. Orang yang dirasuk jin juga boleh tidak nampak jin; atau kadangkala hanya melihat perkara-perkara yang tidak berkaitan jin seperti roh orang yang telah meninggal, sesuatu kejadian, suasana, tempat, kisah lampau dan sebagainya.

Sebenarnya, secara lebih tepat (bagi orang yang berilmu pengetahuan), melihat jin ini boleh dipelajari. Tetapi definisi 'melihat' ini adalah dari 'mata hati'; bukannya dari 'mata kasar'. Sebagaimana contoh, seorang anggota polis yang dapat mengecam seorang penjahat seperti pencuri motosikal; dari raut air mukanya sahaja. Ini bukanlah perkara yang sukar bagi seorang anggota polis; yang berpengalaman luas. Walau bagaimanapun, hal ini perlulah ada undang-undang dan tatacaranya yang perlu dipatuhi sebelum dijatuhkan hukuman.

Maka, tidak mustahil seseorang Perawat Islam juga dapat menilai dan 'nampak dengan mata hati' (melalui amalan Zikirullah yang membersihkan hati dan keizinan Allah SWT) jin yang mendampingi atau merasuk seseorang Pesakit itu. Kemampuan untuk melihat jin ini adalah perkara yang sensitif di dalam Perubatan Islam, namun ianya bukanlah perkara yang mustahil bagi Perawat yang berpengalaman luas serta bersumberkan dari aliran ilmu tahap tinggi. Wallahua'lam. 

Sekiranya seseorang itu mempelajari ilmu, kaedah serta teknik yang betul mengenai lapisan alam/dimensi yang ada di sekeliling kita ini, dengan fokus penyatuan minda dan hati serta cara pengawalan yang efektif; maka sudah pasti hal melihat jin ini bukanlah perkara yang pelik dan aneh.

Diriwayatkan Rasulullah SAW juga pernah melihat jin Ifrit yang sedang mengejar Baginda. Kemudian, turun Malaikat Jibril dan telah mengajar Baginda sepotong doa bagi melawan jin itu. Rasulullah SAW juga diriwayatkan pernah berbai'ah dengan sekumpulan jin, yang dikatakan telah memeluk agama Islam. Banyak juga kisah para sahabat yang berkaitan dengan melihat jin. Antaranya adalah sahabat yang bernama Khurafah, yang telah berada di dalam mahkamah jin (spesies bunian) setelah membunuh seekor ular.

Rasulullah SAW dan para sahabat berkenaan, tidak pernah mempelajari ilmu untuk melihat jin. Namun, ini membuktikan bahawa seseorang manusia yang tidak dirasuki atau berdampingan dengan jin; untuk melihat jin adalah tidak mustahil. Ilmu yang tidak pernah dipelajari oleh Rasulullah SAW, tidak bermakna kita dilarang untuk mempelajarinya. Setiap ilmu adalah darI Allah SWT jua dan kita wajib mempelajarinya demi kemaslahatan ummat Islam. Allah SWT mengurniakankan kita ujian dengan ilmu yang kita perolehi; samada memilih jalan ke syurga atau ke neraka. Na'uzubillahi min zaalik. 

Maka, kesimpulannya; seseorang yang dirasuki jin boleh melihat jin (tidak semestinya); tetapi orang yang boleh melihat jin, tidak semestinya dirasuki atau berdampingan dengan jin. Melihat jin boleh dipelajari (namun tidak mudah), dengan izin Allah SWT jua.

Berkaitan dengan jumlah jin pula, sebenarnya adalah amat sukar untuk dipastikan secara tepat. Ada dakwaan yang mengatakan sejumlah 144 ekor jin bersama Pesakit, adalah dakwaan yang sukar diterima. Dakwaan samada jin itu 'banyak' atau 'sedikit", masih boleh diterima. Namun, sekiranya dinyatakan akan jumlahnya secara angka, adalah mustahil. Namun, boleh berlaku; secara kadangkala jumlah angkanya dapat dikira oleh orang yang 'nampak'; tetapi bukanlah setiap masa. 

(Bersambung)

Tinggalkan komen

Nama .
.
Mesej .

Semua komen perlu diluluskan sebelum dapat disiarkan