Apakah Aura? (Bahagian I)

Istilah “aura” itu sudah tidak asing lagi dalam masyarakat. Dewasa ini, terdapat pelbagai produk aura, tenaga aura, pengesan aura, bengkel aura, pengamal perubatan alternatif “aura” dan macam-macam lagi.

Ada pihak dan syarikat yang mempromosikan tentang aura dan produk aura secara besar-besaran, malah ada juga pihak yang mengatakan aura itu sesat dalam Islam? Apa sebenarnya “AURA” itu?

Secara ilmiah, "AURA" boleh dikelaskan sebagai satu cabang di dalam bidang metafizik. Banyak unsur-unsur keagamaan, spiritual, mental, deria, pancaindera dan dari pelbagai agama, kepercayaan, budaya dan fahaman mempengaruhi tafsiran tentang aura dan juga bentuk aura itu sendiri. Misalnya elemen-elemen agama ardhi seperti Hindu, Buddha, Kristian, agama primitif pribumi dan lain-lain.

Aura juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Chakra, Chi, Prana, Kuasa Minda, Tenaga Batin, Tenaga Dalaman, Tenaga Ilahi, Kesaktian, Cahaya dan sebagainya.

Menurut satu kenyataan: "Aura merupakan lapisan-lapisan halus yang terbentuk di luar objek atau tubuh manusia. Aura adalah medan arus tenaga elektromegnetik atau perisai halus yang terdiri daripada sejumlah getaran gelombang tenaga yang bersifat metafizik (ghaib). Ianya berperanan melindungi tubuh manusia dari getaran tenaga negatif dan serangan radiasi luaran yang boleh merosakkan sistem tubuh manusia. Dari sinar UV yang berlebihan hinggalah kepada kesan sinar infrared yang merosakkan sel dan tisu tubuh manusia."

Kajian Sains Tentang Aura

Di zaman ini, pengkajian tentang aura telah dipermodenkan di mana ianya telah dikaji secara saintifik. Sejenis kamera khas didakwa telah dicipta untuk merakam warna-warna aura yang menyelubungi seseorang. Beberapa kaedah dan tips juga diperkenalkan bagi melihat aura dengan mata kasar. Dan ini didakwa boleh dibuktikan dan diulangi berulang-ulang kali dalam kajian. Dalam tafsiran sains moden, aura juga telah ditafsirkan sebagai gelombang elektro magnetik yang terpancar dari benda-benda hidup. Kawasan atas muka bumi juga dikatakan mempunyai aura yang berbeza-beza.

Secara saintifik, elektro-magnetik adalah gelombang yang terhasil daripada ayunan menerus sendiri yang terdiri daripada medan magnet dan elektrik. Ia adalah satu bentuk sinaran atau cahaya. Sinaran elektromagnet dibahagikan mengikut frekuensi gelombang iaitu gelombang radio, gelombang mikro (microwave), sinaran inframerah, cahaya nampak, sinaran ultraungu, sinar-X dan sinar gamma. Hanya pada julat frekuensi tertentu gelombang elektro magnetik itu boleh dikesan oleh mata dan ia dikenali sebagai spektrum nampak.

Menurut bidang perubatan (neurologi), saraf-saraf dalam badan manusia menghantar isyarat melalui impuls (denyutan) elektrik dari satu deria ke otak. Oleh itu badan manusia boleh dikatakan mempunyai cas elektrik yang kecil. Manakala bumi sebagaimana yang diketahui mempunyai medan magnet, ini boleh ditunjukkan oleh jarum kompas. Adakah gabungan medan elektrik dari badan manusia dan medan magnetik bumi boleh menghasilkan sinar elektro magnetik? Tiada kajian lagi tentang perkara ini (?).

Menurut sains, setiap sesuatu yang wujud di alam ini samada manusia, haiwan, tumbuhan, bungaan, buahan serta unsur alam semulajadi seperti batu, kayu dan besi; adalah terhasil dari kesatuan berbilion-bilion sel atau atom yang membentuk menjadi sesuatu objek.

Atom terdiri dari elektron-elektron negatif, dan proton-proton positif. Proton dan elektron ini adalah getaran elektrik dan magnet. Proton bergerak mengelilingi inti, sedangkan elektron bergerak mengelilingi proton. Ruang di mana atom bergerak digelar sebagai ruang medan tenaga (energy field). Medan tenaga ini memancarkan cahaya (invisible light spectrum ) atau lebih dikenali sebagai aura.

Aura Dan Kesihatan Manusia

Aura didakwa mempunyai beberapa lapisan getaran gelombang tenaga, yang berkait rapat dengan fungsi tujuh chakra (pusat tenaga di dalam tubuh manusia) utama yang mempengaruhi peranan dan fungsi kelenjar serta organ tubuh, juga mempengaruhi keseimbangan tingkah laku, dan peribadi seseorang.

Dipercayai bahawa aura yang sihat dan sempurna, lapisannya indah, tebal, licin dan lembut. Manakala aura yang mengalami masalah atau bermasalah, lapisannya banyak mengalami kebocoran tenaga, kasar, kesat, tajam dan nipis. Oleh sebab itulah perawat perubatan aura dapat mengesan penyakit yang berada pada tubuh pesakit dengan melakukan teknik imbasan penyakit melalui deria sensitiviti aura di telapak tangan mereka.

Aura Secara Umum

Secara umumnya, penjelasan dan keilmuan terhadap elemen aura ini masih lemah dan kabur kerana tidak banyak kajian mengenai aura dan kesan, pengaruh serta kegunaannya secara saintifik yang diiktiraf di peringkat dunia. Kebanyakkan dakwaan adalah teori dan tidak dapat dibuktikan dengan kukuh secara fizikal dan diperbahaskan secara akademik. Misalnya warna-warna aura dengan personaliti seseorang dan tenaga aura sebagai satu kaedah perubatan alternatif. 

Pembicaraan tentang aura menjadi popular kerana ramai orang terlalu berminat dengan perkara-perkara mistik dan terlalu mengharapkan keajaiban berlaku dengan satu-satu penemuan. Berhati-hatilah kerana sebagai seorang Islam yang beriman, kita tidak boleh sama-sekali menafikan bahawa setiap unsur kejadian dan elemen metafizik adalah di atas penciptaan, izin, kehendak dan kuasa Allah SWT jua.

(Bersambung)

Tinggalkan komen

Nama .
.
Mesej .

Ambil perhatian, semua komen perlu diluluskan sebelum dapat disiarkan.